JITRA – “Qisya nak belajar bersungguh-sungguh, nak masuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan nak jadi juruterbang TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) sebab itu impian arwah umi.”
Demikian kata Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, ketika ditemui di rumah ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, di Taman Seri Aman, di sini hari ini.
Putri Qisya merupakan anak kepada pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang ditemui lemas di Sungai Korok, di sini Isnin lalu.
Turut maut dalam kejadian itu ialah empat adik Putri Qisya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Katanya, dia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi menunaikan impian arwah ibunya itu.
“Qisya akan meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak sebab dah biasa dengan suasana di sana, ada guru dan rakan-rakan yang baik,” ujarnya.
Ketika ditemui, Putri Qisya juga sempat bergurau dengan mengatakan wajahnya ‘fotostat’ seperti arwah ibunya.
Perkara itu diakui ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada yang mengatakan wajah Putri Qisya saling tidak tumpah wajah arwah ibunya.
Menurut Nur Adliah Syuhada, emosi anak saudaranya itu semakin baik dan ahli keluarga sentiasa menemaninya setiap masa.
“Qisya nampak macam biasa, tersenyum dan bergurau serta melakukan rutin seperti biasa, namun waktu malam ketika saya tidur dengannya, dia ada luah rindu kepada arwah umi, walid dan adik-adiknya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE