fbpx
Kanak-kanak miop sering mengadu kesukaran untuk melihat tulisan guru di atas papan putih di dalam kelas. - Gambar hiasan

Bahaya abai anak miop

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prof Dr Bariah Mohd. Ali

Penglihatan merupakan deria utama manusia. Masalah penglihatan yang kerap dialami oleh kanak-kanak dan remaja adalah rabun jauh.

Rabun jauh atau juga dikenali sebagai miopia merupakan keadaan di mana seseorang itu mengalami kabur penglihatan jauh tetapi jelas penglihatan dekat.

Simptom lain rabun jauh meliputi kerap mengecilkan mata apabila melihat objek jauh, gemar menonton televisyen pada jarak dekat, kerap mengadu sakit kepala dan mengalami tekanan pada otot mata.

Kanak-kanak miop yang tidak dirawat juga sukar untuk fokus dan mempunyai pencapaian akademik yang rendah berbanding kanak-kanak yang berpenglihatan normal.

Kanak-kanak miop sering mengadu kesukaran untuk melihat tulisan guru di atas papan putih di dalam kelas.

Miopia juga se­ring dianggap sebagai suatu keadaan yang tidak membahayakan kerana beranggapan yang ia mudah dirawat menggunakan kaca mata, kanta sentuh atau surgeri refraktif.

Namun, miopia yang tidak dikawal boleh menyebabkan miopia tinggi (5 Diopter ke atas) berlaku dan mempunyai risiko tiga kali ganda untuk mendapat katarak, dua kali ganda mendapat glaukoma dan enam kali ganda mendapat lekangan retina berbanding normal.

Miopia yang tidak dikesan dan dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan ambliopia atau mata malas. Ambliopia menyebabkan kanak-kanak terus mengalami defek penglihatan dan menjadi juling hingga dewasa sekiranya tiada rawatan diberikan.

Penyakit okular akibat ­kom­plikasi miopia menyebabkan peningkatan beban ekonomi kepada negara akibat kos rawatan yang tinggi di samping boleh menyebabkan buta jika tidak dikesan dan dirawat awal.

Komplikasi miopia menyumbang kepada penurunan produktiviti melalui pertambahan cuti sakit, kos ra­watan dan sebagainya.

Adalah dianggarkan hampir 10 peratus penduduk dunia akan menjadi miop tinggi menjelang 2050.

Kos rawatan miopia pula dijangka meningkat dari AS$94.5 bilion kepada AS$223.9 bilion setahun yang melibatkan pembe­lian kaca mata, kanta lekap, ubat dan surgeri.

Oleh itu, kawalan perkembangan miopia amat penting dilakukan di peringkat awal bagi mengurangkan kesan komplikasi miop tinggi serta peningkatan beban ekonomi negara.

Miopia kini telah menjadi salah satu masalah kesihatan awam dunia akibat peningkatan drastik peratusan populasi miop, terutama di benua Asia.

Kajian menganggarkan peningkatan peratusan miopia dari tahun 2000 hingga 2050 di rantau Asia Tenggara adalah dari 39 peratus ke 62 peratus dan dari 50 peratus ke 66 peratus di rantau Asia Pasifik.

Peningkatan peratusan miopia paling tinggi adalah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Singapura dan Taiwan adalah antara negara yang mempunyai peratusan tinggi kanak-kanak miop, di mana lebih dari 60 peratus kanak-kanak di negara tersebut menjadi miop apabila usia mereka mencecah 12 tahun.

Kajian dalam kalangan kanak-kanak Melayu di sekitar Kuala Lumpur turut menunjukkan peningkatan peratusan yang merisaukan mengikut peningkatan umur, iaitu 7.7 peratus untuk usia 7 tahun dan 30.70 peratus untuk usia 15 tahun.

Data terkini turut menunjukkan peningkatan tinggi peratusan kanak-kanak miop pada usia 7 dan 8 tahun, iaitu dari 7.7 peratus pada 2005 ke 35.8 peratus pada 2024.

Keadaan ini membimbangkan kerana terdapat kebarangkalian tinggi kanak-kanak ini mengalami masalah penyakit mata di masa hadapan jika miopia tidak dikawal dari sekarang.

Miopia turut memberi kesan kepada pencapaian akademik dan keyakinan diri kanak-kanak, di mana kajian menunjukkan pencapaian akademik dan keyakinan diri kanak-kanak miop yang tidak dirawat adalah lebih rendah berbanding normal.

Kesukaran untuk melihat semasa sesi pembelajaran di dalam kelas menyebabkan pencapaian akademik serta keyakinan diri menurun berbanding kanak-kanak yang berpenglihatan normal.

Kajian turut membuktikan peningkatan pencapaian akademik bagi kanak-kanak yang memakai kaca mata semasa mengikuti pembelajaran berbanding semasa tidak mendapat rawatan untuk miopia.

Oleh itu, ibu bapa mesti membawa kanak-kanak untuk menjalani pemeriksaan mata dengan Optometris setiap tahun bagi memastikan penglihatan mereka berada pada tahap optimum selain tidak menjejaskan penca­paian akademik serta keyakinan diri kanak-kanak semasa menjalani pembelajaran di sekolah.

Pemeriksaan mata kanak-kanak sekolah setiap tahun mesti dijadikan mandatori bagi memastikan kanak-kanak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik.

Ibu bapa dan guru sekolah juga mesti peka dengan masalah penglihatan yang diadukan oleh kanak-kanak dan membawa mereka untuk menjalani pemeriksaan bagi memastikan pengesanan serta rawatan awal dapat diberikan.

Antara faktor risiko yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kuasa miopia adalah tabiat membaca atau menggunakan gajet secara berlebihan tanpa rehat, terutama pada jarak dekat (kurang dari 30 cm).

Tabiat ini menyebabkan otot mata kurang berehat dan sete­rusnya meransang peningkatan kuasa miopia dengan cepat. Ini dibuktikan dengan peningkatan peratusan miopia sebanyak tiga kali ganda dalam kalangan kanak-kanak selepas wabak Co­vid-19 melanda dunia berban­ding sebelumnya.

Ia banyak di­sebabkan tabiat menggunakan gajet secara berlebihan untuk ­tujuan pem­belajaran dan bermain.

Selain itu, kurang masa bermain di luar rumah atau di padang permainan turut menjadi faktor peningkatan kuasa miopia.

Apabila berada di luar rumah, otot mata tidak lagi memfokus kepada tulisan kecil yang terdapat pada buku atau gajet. Sebaliknya otot mata lebih ­berehat apabila melihat jauh dan ini membantu melewatkan perkembangan miopia.

Oleh itu, selain menjalani pemeriksaan mata, ibu bapa di­sarankan untuk mengubah gaya hidup kanak-kanak miop.

Penggunaan gajet mesti dihadkan antara 2 jam sehari dan kanak-kanak mesti digalakkan bermain dan beriadah sekurang-kurang­nya 1.5 jam sehari untuk melewatkan perkembangan miopia.

Pastikan pencahayaan mencukupi serta elakkan kanak-kanak dari memegang buku atau menggunakan gajet pada jarak yang terlalu dekat dengan mata (kurang dari 30 sentimeter).

Membaca atau menggunakan gajet pada jarak dekat menyebabkan otot mata menjadi tegang dan ini seterusnya menyebabkan penglihatan jauh menjadi kabur.

Terdapat pelbagai jenis rawatan seperti priskripsi ubat titis, kanta kaca mata dan kanta lekap khas serta teknik ortokeratologi yang boleh dicadangkan oleh Optometris untuk mengawal perkembangan miopia kanak-kanak.

Pemeriksaan mata yang terperinci mesti dilakukan terlebih dahulu ke atas kanak-kanak tersebut sebelum Optometris memberi sebarang cadangan.

Namun, pemahaman serta komitmen yang tinggi dari ibu bapa merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan rawatan kawalan miopia kanak-kanak dan mengurangkan risiko hilang penglihatan di masa hadapan.

Ibu bapa mesti peka terhadap masalah penglihatan yang dialami oleh anak mereka dan segera mendapatkan rawatan.

Prof Dr Bariah Mohd. Ali ialah Profesor Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM dan Presiden Pertubuhan Akademi Optometri Malaysia (PAOM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN