PARIS – Benua Eropah bergelut dengan fenomena cuaca luar biasa ketika kebakaran hutan yang meluas menghampiri bandar Marseille di Perancis, puting beliung di rantau Mediterranean dan salji luar biasa turun di Switzerland, lapor portal berita MailOnline.
Kebakaran marak akibat tiupan angin kencang semakin menghampiri bandar raya di selatan Perancis, memaksa puluhan anggota bomba bertungkus-lumus mengawal api sebelum ia membakar kawasan penempatan di pinggir bandar.
Kira-kira 110 orang cedera ringan dalam kebakaran hutan yang bergerak pantas ke Marseille itu, manakala Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau berkata, kira-kira 800 anggota bomba dikerahkan untuk menangani kebakaran. Api ketika ini masih belum dapat dikawal.
Sementara itu, fenomena cuaca luar biasa turut dilaporkan di sebilangan negara Eropah, termasuk Croatia, Greece, Sepanyol, Switzerland dan Turkiye.
Croatia dikejutkan dengan kejadian belalai air merentasi pantainya selain beberapa siri puting beliung, manakala di Tarragona, Sepanyol, puluhan ribu penduduk diarah berlindung di dalam rumah ketika kebakaran hutan memusnahkan kawasan seluas lebih 3,000 hektar.
Di Greece pula, Kementerian Kebudayaan telah mengarahkan penutupan sebahagian kawasan Acropolis di Athens sebagai langkah melindungi pelancong susulan gelombang panas yang melanda.
Suhu diramal melonjak setinggi 42 darjah Celsius, menjadikan langkah keselamatan itu sebagai keutamaan.
Kebakaran turut melanda Turkiye dan pada Jumaat lalu, manakala Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya mendedahkan bahawa pihak berkuasa telah menahan 10 individu yang disyaki terlibat dalam siri kebakaran hutan yang merebak di seluruh negara.
Ketika Cyprus turut menangani kebakaran hutan, polis di pulau Karpathos telah memulakan hari ke-12 untuk mencari seorang pelancong Britain yang hilang.
Sementara itu, Switzerland mengalami fenomena musim sejuk yang luar biasa apabila salji turun lebat di kawasan pergunungan Stevio Pass. – AGENSI