SELANGOR FC enggan menjadikan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) sekadar pelengkap jadual sebaliknya berusaha untuk melangkah sejauh mungkin walaupun diundi dalam kumpulan maut bersama dua jaguh pasukan dari Liga Thailand.
Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah telah diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Buriram United, BG Pathum (Thailand), CAHN (Vietnam), Tampines Rovers (Singapura) dan satu lagi pasukan playoff.
Pemain sensasi skuad Selangor FC, Faisal Halim menjelaskan barisan pemain Merah Kuning mahu cuba sedaya upaya untuk menambah baik persembahan pasukan bagi memberi saingan terbaik dalam kejohanan itu.
Kata Faisal, peluang untuk menentang kelab-kelab ternama Asia Tenggara bakal memberi pengalaman yang baharu buat pasukan dan semua pemain perlu menunjukkan kualiti.
“Saya berasa perlawanan seperti ini akan menambah baik kualiti pasukan sebab kita akan menentang pasukan yang hebat.
“Sudah tentu persiapan penting untuk kita bermain dalam ACC yang mana satu kejohanan baharu. Sebagai pemain, kejohanan ini memberi satu semangat dan batu loncatan untuk menjadi lebih baik dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menganggap peluang untuk menyertai kejohanan peringkat kelab berprestij Asia Tenggara itu akan memberi nilai tambah buat pasukan dalam usaha mencabar kejuaraan pada saingan musim baharu nanti.
“Ini adalah peluang untuk kita menunjukkan peningkatan pada musim ini. Harap kita dapat berjuang demi Selangor bersama-sama,” kata pengendali dari Jepun itu.
Selain Selangor, satu lagi wakil negara dalam ACC, Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi dalam Kumpulan B bersama Bangkok United (Thailand), Nam Dinh (Vietnam), Lion City Sailors (Singapura), Svay Rieng (Kemboja) serta satu lagi pasukan yang akan ditentukan menerusi aksi play-off.