SAUDARA PENGARANG,
Baru-baru ini saya pergi ke sebuah hospital kerajaan. Seperti biasa, ramai orang yang sedang menunggu giliran mendapatkan rawatan.
Bermacam jenis penyakit yang orang Malaysia ada seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, kanser dan lain-lain.
Sedang saya sama-sama menunggu, terdengar satu perbualan di antara pesakit warga emas dengan salah seorang staf perubatan di kaunter.
Warga emas itu diberi tarikh bertemu doktor pada Disember depan untuk rawatan susulan. Hal itu membuatkan dia termenung sekejap. Mungkin kerana dia fikir perlu menunggu lagi lima bulan untuk bertemu doktor.
Saya tidak pasti apa penyakitnya tetapi ia sudah tentu berkenaan sesuatu yang merunsingkannya. Apa boleh buat, memang pesakit di hospital kerajaan akan diberi tarikh yang berbulan-bulan untuk janji temu seterusnya jika tidak terlalu kritikal.
Saya agak lelaki itu sudah lama mendapatkan rawatan berdasarkan pada banyak tulisan tarikh janji temu yang terdapat dalam kad rawatannya.
Persoalannya, jika sudah lama mengambil ubat secara konsisten, mengapa penyakitnya masih belum sembuh.
Mungkin ubat yang dibekalkan hanya mengawal penyakit tetapi tidak menyembuhkan sepenuhnya. Tiadakah ubat yang benar-benar menyembuhkan penyakit?
PEMERHATI,
KUALA LUMPUR














