PETALING JAYA – Berat badan merosot sehingga turun ke 45 kilogram (kg), keadaan pelakon popular era 1980-an Dharma Harun Al-Rashid mengundang kejutan ramai.
Anak lelakinya, Muhammad Al Syafiq berkongsi fizikal terkini bintang filem Adik Manja itu yang tetap gagah menunaikan solat dalam keadaan duduk.
“Bapa saya semakin kurus tapi inilah dugaan kami dengan macam-macam masalah nak hadapi, tapi tak apa setiap masalah ujian saya untuk berjaya.
“Terus berusaha agar dapat keputusan cemerlang dalam pelajaran supaya satu hari nanti dapat kerja yang sempurna,” katanya dalam perkongsian Insta Story.
Menerusi hantaran bergambar itu, Muhammad Al Syafiq, 36, mengakui doa orang ramai menyuntik kekuatan buat mereka sekeluarga berdepan ujian hidup.
“Sokongan ramai dan doa yang buat kami masih boleh bernafas dalam ruang udara yang sempit.
“Nak bersedih pun buat apa, ikutkan kecil saja dugaan ini, ramai lagi susah di luar sana. Kena bersyukur dan tabah. Allah ada,” ujarnya.
Paparan foto tersebut juga disertakan kapsyen menggambarkan isi hati bapanya itu.
“Tak apa, isteri tiada, Allah ada, janji masih boleh solat,” tulisnya.
Difahamkan pelakon berusia 68 tahun itu menghidap pelbagai penyakit seperti asma, bengkak bahagian jantung dan paru-paru, gastrik serta mempunyai masalah tiroid.
Sebelum ini iaitu sekitar 2019 Dharma pernah mengalami serangan angin ahmar yang mengakibatkan pertuturannya terjejas.
Berikutan kesan strok serta beberapa masalah kesihatan lain, daya ingatannya turut terjejas sekali gus menyebabkannya tidak lagi mampu bekerja.
Selain Syafiq, 36, Dharma juga dijaga anak perempuannya, Siti Qurratu Aini, 37, yang juga masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). -KOSMO! ONLINE