BESUT – Biarpun keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman ‘menutup pintu’ sementara sehingga lusa, kubur pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (USPI) yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya tetap dikunjungi orang ramai.
Tinjauan Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir hari ini mendapati pusara gadis yang terkorban dalam nahas bas membawa pelajar UPSI pada 9 Jun lalu tetap diziarahi, namun bilangannya terlalu sedikit berbanding purata 1,000 sehari sebelum ini.
Begitupun pekarangan rumah keluarga Allahyarham lengang bagi menghormati permintaan bapa Nurin, Azman Mohamed, 63.
Sementara itu, Ahmad Ramli, 45, berkata, dia yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mengambil keselamatan melawat pusara Allahyarham Nurin selepas mengambil anaknya dari asrama Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut di sini.
“Sebelum ini, saya tidak berpeluang berziarah, kebetulan hari ini saya menjemput anak pulang dari asrama SM Imtiaz Besut.
“Saya tidak mengenalinya, namun kerap mendengar cerita daripada guru-guru anak saya tentang Allahyarham (Nurly) yang pernah menuntut di sekolah sama,” katanya ketika ditemui.
Ahmad berkata, kisah Nurly yang merupakan seorang hafizah dan mendampingi al-Quran begitu dekat di hatinya dan keluarga.
Dia yang menghormati permintaan keluarga Nurly untuk tidak menerima tetamu selama empat hari sehingga Sabtu hanya singgah sebentar untuk melawat kubur gadis itu yang dipasang tali penghadang. – KOSMO! ONLINE