fbpx

Kelantan TRW sasar ‘top 4’ dalam tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNUAR (kanan) mengakui Kelantan TRW menjadi keutamaan apabila pasukan itu beraksi di Liga Super yang menjadi kayu ukur kejayaan bola sepak sesebuah negeri.

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berharap dapat melihat pasukan bola sepak mewakili Kelantan kembali menjadi antara empat pasukan terbaik di liga utama negara dalam tempoh tiga tahun.

Annuar berkata, beliau tidak memegang sebarang jawatan dan sekadar membantu skuad Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dan Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) di Liga A1 Semi-Pro dan Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) di Liga Super.

Menurutnya, tumpuan beliau lebih terperinci kepada Kelantan TRW berikutan pasukan itu bermain di liga utama negara yang akan menjadi kayu ukur bagi menilai kejayaan sesebuah negeri dalam sukan bola sepak peringkat domestik.

“Saya sekadar mahu melihat bola sepak Kelantan kembali ke era kegemilangan. Dalam usaha ini ketiga-tiga pasukan adalah penting, tetapi kita perlu beri lebih tumpuan kepada pasukan yang bermain di Liga Super.

“Kelantan TRW perlu mencapai kecemerlangan dalam masa paling singkat dua tahun dan tidak boleh melebihi tiga tahun untuk kembali menjadi empat pasukan terbaik di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan pertama Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Annuar memberitahu, Kelantan TRW perlu lebih realitistik pada peringkat awal dan tidak boleh berangan terlalu tinggi dengan bajet yang sangat kecil serta terhad.

“Bagi saya, asal dapat ‘top 10’ sudah cukup walaupun pihak pengurusan menyasarkan untuk menghuni kedudukan di pertengahan carta liga. Minimum adalah 10 pasukan terbaik dan jangan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan berdepan penyingkiran.

“Selepas enam bulan kita akan tengok kembali kelemahan yang perlu dibaiki menjelang jendela perpindahan pertama nanti. Kita akan teliti aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memahami cabaran besar dihadapi pengurusan baharu Kelantan TRW FC dan berharap usaha untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan mendapat sokongan semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI