KUALA LUMPUR – Legenda badminton tanah air, Datuk Cheah Soon Kit akan kembali aktif dalam bidang kejurulatihan apabila dijadualkan berkelana ke Eropah minggu depan bagi memenuhi jemputan selaku jurulatih.
Bagaimanapun, tugasan itu bersifat sementara apabila beliau mengesahkan ia hanyalah untuk tempoh satu setengah bulan selain tidak mendedahkan pasukan mana yang akan disertainya.
Soon Kit berkata, jemputan itu lebih bersifat memenuhi jemputan kawan dan beliau turut memberi gambaran ia sekadar di peringkat kelab dan tidak melibatkan mana-mana pasukan kebangsaan.
“Apa yang boleh saya katakan, saya akan pergi ke luar negara minggu depan untuk tugas kejurulatihan. Bagaimanapun, ia hanyalah untuk tempoh yang singkat dan destinasinya adalah Eropah.
“Ia bukanlah pasukan besar, lebih kepada tugas jurulatih di kelab dan ia tidak berpangkalan di England,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Filem Sentuhan Wira di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Sebagai rekod, kali terakhir Soon Kit aktif dalam bidang kejurulatihan adalah tujuh tahun lalu ketika mengendalikan skuad beregu lelaki negara sebelum beliau meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam pada itu, pemenang Piala Thomas 1992 berkenaan tidak pasti sama ada untuk kembali ataupun tidak ke bidang kejurulatihan secara sepenuh masa sama seperti sebelum ini.
“Saya tidak tahu lagi mengenai perkara ini (kembali aktif) tetapi kita tunggu dan lihat selepas saya pulang nanti, ” ujar Soon Kit. – KOSMO! ONLINE