fbpx

Ahli perniagaan didenda RM300,000 perdaya Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur- GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 10 tuduhan memperdaya kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), lima tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin turut memerintahkan tertuduh, P. Sathia Seelan, 52, dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Sathia Seelan didakwa memperdaya dua pegawai Perkeso untuk mempercayai dokumen senarai nama dan tandatangan kehadiran peserta bagi tiga kursus di bawah lima syarikat sedangkan program itu tidak pernah dijalankan.

Tindakan itu mendorong Perkeso membuat bayaran RM496,000 kepada syarikat milik tertuduh, Global Education Network Sdn. Bhd. yang mana pembayaran tersebut tidak akan dibuat sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan dilakukan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Putrajaya antara 23 Disember 2020 dan 12 Ogos 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam prosiding sama, rakannya, R. Nanthagopal, 43, didenda RM300,000 atau 10 bulan penjara selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan bersubahat dengan Sathia Seelan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam R. Babu Naidu merayu hukuman ringan atas alasan anak-anak guamnya telah insaf dan memberikan kerjasama penuh kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepanjang siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI