fbpx

Kerjasama antara polis, sekolah elak ‘penjenayah pelajar’ berleluasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Usuf (tengah) menyerahkan sijil penghargaan kepada Megat Affandi pada majlis perasmian Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara polis dan sekolah dilihat dapat membendung kegiatan samseng jalanan, jenayah sosial serta penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar di sekitar ibu negara.

Kolaborasi antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu diadakan menerusi Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 yang berlangsung hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata tujuan program tersebut diadakan adalah bagi membimbing pelajar-pelajar yang bermasalah di sekolah untuk berubah menjadi insan cemerlang.

“Menerusi seminar ini, kita bagi motivasi supaya pelajar-pelajar yang dipilih ini berubah menjadi pelajar cemerlang.

“Program ini sejajar dengan slogan kita, polis masyarakat berpisah tiada. Masyarakat semua juga tidak kira polis, ibu bapa, atau mana-mana agensi serta jabatan perlu bekerjasama,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian program tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 300 pelajar dari lebih 100 sekolah menengah dari seluruh ibu kota menyertai seminar tersebut.

Sementara itu, Mohamed Usuf berkata, seramai 183 pelajar di ibu kota dikenal pasti terbabit dalam kegiatan samseng jalanan dan lumba haram dalam tempoh tiga tahun lalu, termasuk 135 pelajar sekolah menengah.

Beliau berkata jumlah itu direkodkan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Katanya, baki 48 individu pula terdiri daripada pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus menunjukkan keperluan tindakan lebih serius dan menyeluruh.

“Statistik pelajar yang dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah pula menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu. Pada 2023, seramai 84 pelajar direkodkan terbabit dengan kes dadah, namun sehingga pertengahan tahun ini, hanya 26 pelajar yang dikenal pasti terlibat,

“Antara jenis dadah yang dikesan termasuk amphetamine, methamphetamine, ganja, syabu dan eramin 5,” ujarnya.

Mohamed Usuf menambah, Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Kuala Lumpur juga merekodkan penurunan tangkapan pelajar dalam kes sosial dan tidak bermoral sejak tahun lalu.

“Tahun 2023 mencatatkan 17 tangkapan, 2024 pula 16 tangkapan dan pada 2025 hanya empat tangkapan direkodkan,

“Walaupun angka ini menunjukkan trend menurun, ia masih memerlukan pemantauan dan intervensi berterusan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail, berkata kerjasama antara pihak polis dan sekolah amat penting bagi membendung masalah disiplin dan sosial dalam kalangan pelajar.

“Daripada awal kita sudah bekerjasama dengan pihak PDRM. Sekolah-sekolah pun ada pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang ditugaskan untuk pantau dan bantu menangani masalah pelajar.

“Sebarang kes disiplin yang dikesan akan terus disalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kita mahu isu ini ditangani lebih awal sebelum jadi lebih serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI