SEREMBAN – Surau Madani di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan kini mendapat kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat selepas menerima kelulusan daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.
Kelulusan itu diberikan di bawah Seksyen 47, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan.
Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, faktor jarak yang jauh dari masjid berhampiran menjadi antara sebab utama kelulusan diberikan memandangkan ia menyukarkan para pekerja di kawasan itu menunaikan solat Jumaat.
“Kadangkala mereka tidak sempat pergi ke masjid yang terdekat kerana jauh.
“Jadi, kita melihat ada keperluan dan hajat untuk memberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di kawasan ini agar pekerja-pekerja tidak terlepas daripada kewajiban,” katanya ketika berucap di surau itu hari ini.
Beliau turut menyeru orang awam yang tinggal atau berada berhampiran R&R Seremban arah selatan agar mengambil peluang untuk menunaikan solat Jumaat di Surau Madani.
Surau ini juga menjadi surau pertama di kawasan Rehat dan Rawat yang diberi kebenaran mendirikan solat jumaat dan dijadualkan berlangsung buat kali pertama pada 4 Julai ini.
Ia mampu menampung sehingga 150 jemaah lelaki dalam satu-satu masa. – KOSMO! ONLINE.