LONDON – Dua kelab dari London, Arsenal dan Tottenham Hotspur dilapor sedang bersaing untuk mendapatkan penyerang Crystal Palace, Eberechi Eze yang memiliki klausa pelepasan bernilai £67.5 juta (RM402 juta).
Arsenal dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan ejen Eze bagi membincangkan terma peribadi, namun belum membuka rundingan rasmi bersama Palace.
Pengurus, Mikel Arteta melihat Eze sebagai pemain yang mampu memberi nilai tambah selepas mereka menamatkan musim ketiga berturut-turut sebagai naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Eze, 27, pernah menyertai Akademi Arsenal sebelum dilepaskan ketika berusia 13 tahun dan ketika ini kontraknya di Selhurst Park masih berbaki hingga 2027, manakala Palace hanya akan melepaskannya jika klausa tersebut dipenuhi.
Pemain tengah itu muncul wira Palace apabila menjaringkan gol kemenangan aksi final Piala FA ketika menewaskan Manchester City, namun usianya menyebabkan Arsenal mahukan harga perpindahan diturunkan
Menerusi prestasi konsisten di peringkat kelab dan negara sejak menjaringkan gol pertamanya untuk England ketika menentang Latvia pada Mac lalu, Eze bersedia untuk menyertai mana-mana kelab jika perjanjian boleh dipersetujui.
Spurs juga turut menunjukkan minat lama terhadap Eze dan sedang mempertimbangkan untuk menjadikannya sebagai pemain utama dibawa masuk di bawah pengurus baharu, Thomas Frank.
Palace mungkin tidak akan menurunkan nilai Eze ketika mereka mungkin tidak dapat mempertahankan nilai tinggi untuk penjualan Marc Guehi yang hanya memiliki baki kontrak selama 12 bulan sahaja lagi. – AGENSI