PETALING JAYA – Sebarang konflik geopolitik dapat dielakkan jika semua negara mengamalkan semangat ‘keluarga dunia’.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semangat ‘keluarga dunia’ mendepani apa jua cabaran mendatang.
“Hubungan diplomatik antara negara harus terus dipelihara. Sebarang konflik geopolitik dapat kita elakkan jika kita mengamalkan semangat ‘keluarga dunia’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Ismail Sabri menyatakan perkara itu pada Majlis Makan Malam Gala “Global Diplomats’ Chinese Cultural Night” di Beijing, China baru-baru ini.
Beliau selaku Penaung Persatuan Muafakat One Belt One Road (PMOBOR) menyampaikan ucaptama dalam majlis anjuran Global Diplomats Alliance bersama Diplomat Global dan Komuniti Perniagaan China-Malaysia tersebut.
Dalam pada itu, Ismail Sabri pada mailis berkenaan turut menegaskan dunia perlu segera menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini berdepan risiko kebuluran dan penindasan yang amat dahsyat.
Ujar beliau, kekejaman yang sedang berlaku di Gaza mesti dihentikan.
Selain itu, katanya, China terus menerajui pembangunan teknologi AI,EV dan bateri lithium-ion, termasuk pelancaran hospital AI pertama dunia.
“Saya menyeru agar komuniti perniagaan dua negara memperkukuh kerjasama khususnya dalam pelancongan kesihatan dan perdagangan strategik.
“Malaysia dan China juga komited dalam memperkukuh hubungan serantau melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC,” katanya. – KOSMO! ONLINE