GEORGE TOWN – Keluarga mangsa kemalangan, Nur Shazlin Nabilah Mohd. Sharif, 23, yang koma sejak sebulan lalu merayu mana-mana individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcham) supaya tampil bagi merungkai kejadian tersebut.
Bapa mangsa, Mohd. Sharif Ali, 51, berkata, sehingga semalam masih belum ada saksi yang melihat secara jelas kemalangan pada 26 Mei lalu.
“Saya ada terima kiriman WhatsApp daripada seorang individu pada Khamis lalu. Dia memandu kereta dan berada di hadapan motosikal Nur Shazlin, namun keretanya tidak dilengkapi dashcam.
“Dia beritahu terdengar bunyi dentuman dari arah belakang menerusi cermin sisi kanan. Katanya terdapat seorang lelaki memberikan bantuan selain pemandu kereta berwarna hitam yang merakam kejadian tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Lebih buntu, seorang kenalan Mohd. Sharif memaklumkan lokasi kejadian tiada televisyen litar tertutup (CCTV).
Mengulas mengenai anaknya, lelaki itu berkata, keadaan Nur Shazlin masih sama, malah terpaksa mendapatkan semula bantuan oksigen dan diberikan antibiotik kerana demam sejak Khamis lalu.
“Pelawat tidak dibenarkan masuk selain ibu bapa sebab kakak (Nur Shazlin) belum stabil dan boleh mendapat jangkitan bila-bila masa.
“Saya tidak pernah putus harapan dan yakin Allah akan memberikan keajaiban untuk kakak sedar semula. Kami merindui gelak tawanya,” katanya.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Mohd. Sharif di talian 019-575 0909.
Pada Jumaat lalu Kosmo! melaporkan seorang gadis koma selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Lake View Bertam, Seberang Perai Utara pada pukul 5.15 petang, 26 Mei lalu.
Nahas menimpa pelajar semester empat Institut Latihan Kementerian Kesihatan (Kejururawatan) di Bertam itu turut meninggalkan kesan kepada keluarganya yang sehingga kini masih tidak mengetahui punca sebenar kejadian.
Nur Shazlin mengalami kecederaan iaitu retak tengkorak kepala, patah tulang dahi, kening, kedua-dua pipi, tangan kanan, hidung, rahang serta kulit kelopak mata selain pipi dan bibirnya terkoyak.














