ORANG muda bukan hanya memerlukan lesen memandu, tetapi lebih penting adalah nilai dan hormat pada undang-undang jalan raya. - GAMBAR HIASAN

Wahai orang muda, hargai nyawa anda!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RABU lalu, seorang pelajar kolej berusia 17 tahun menjadi korban jalan raya di Klang. Satu kecelakaan yang langsung tidak disangka ketika anak muda itu dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal.

Sehari selepas itu, ada lagi kisah tragis yang mengorbankan dua anak muda di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE). Kalau ikut laporan polis, kecelakaan ini berpunca daripada tindakan menunggang motosikal secara laju dan melulu.

Mangsa dalam kejadian ini merupakan seorang pemuda berusia 24 tahun dan seorang lagi adalah pelajar tingkatan tiga.

Ironinya, kisah kematian akibat kemalangan bukanlah cerita asing. Saban hari, di dada akhbar, di kaca televisyen malah di skrin telefon pintar terpampang wajah-wajah anak berusia muda yang telah ‘pergi’ tanpa sempat mengucap selamat tinggal.

Mereka ini bukan pelengkap kepada statistik kemalangan, tetapi mereka adalah anak, adik, abang, sahabat dan pewaris generasi masa depan. Kita kehilangan mereka hanya dalam sekelip mata.

Dalam banyak kes, kelajuan melampau, sikap sambil lewa terhadap peraturan lalu lintas dan hilangnya adab di jalan raya menjadi racun yang boleh mengakhiri kehidupan dengan mudah. Kesan kejadian ini, sama ada tanpa sengaja atau tidak tetap meninggalkan bibit hitam kepada seluruh keluarga.

Bayangkan bagaimana hibanya seorang ibu meratap di sisi jenazah anaknya. Seorang ayah pula kaku berdiri di depan kubur insan tersayang.

Bagaimanapun mereka boleh membayangkan peristiwa yang berlaku tanpa isyarat.Pada sebelah pagi, si ibu gembira mendengar suara ceria anak yang ingin pulang ke rumah. Ada juga si ayah yang melihat senyum girang anak yang mahu keluar bertemu rakan.

Kejadian ini bukanlah mimpi, tetapi ia realiti yang menjentik hati sanubari kita sebarang seorang manusia.

Ada yang menganggapnya sebagai takdir, tapi ramai yang menyedari bahawa kecelakaan itu boleh dielak andai sahaja ada rasa tanggungjawab dalam diri setiap pengguna jalan raya.

Syaratnya mudah. Lampu isyarat jangan sesekali ‘dilanggar’, elak bermain telefon bimbit sambil memandu dan sentiasa memakai tali pinggang atau topi keledar.

Paling penting, bertimbang rasalah di jalan raya dan jangan sesekali memandu secara melulu, laju dan berbahaya. Beringat, kalau bukan kita yang ‘pergi’, mungkin ada nyawa orang lain yang melayang.

Bagi anak-anak muda, mereka bukan hanya perlukan lesen untuk berada di atas jalan raya. Lebih daripada itu, mereka sebenarnya memerlukan nilai hormat pada nyawa sendiri dan nyawa orang lain.

Mereka juga perlu faham bahawa jalan raya bukan pentas lagak ngeri. Ia bukan tempat untuk menunjuk kuasa kuda enjin, tetapi ruang yang menuntut disiplin dan rasa hormat sesama insan.
Akhirnya, kehilangan nyawa pada usia muda bukan sekadar tentang ajal yang tiba. Ia juga tentang peluang yang hilang untuk menjadi anak yang membanggakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN