KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya satu gelaran diburu skuad beregu campuran kebangsaan menjelang dua kejohanan utama bulan depan iaitu Kejohanan Badminton Terbuka Jepun dan Terbuka China.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto percaya anak-anak buahnya memiliki peluang untuk merangkul kejuaraan kerana menganggap persaingan dalam acara tersebut kian terbuka ketika ini.
Beliau berkata, ketiadaan gandingan China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong yang sudah bersara sedikit sebanyak membuka ruang buat beregu-beregu lain mengintai peluang untuk bergelar juara.
“Persiapan berjalan cukup baik, kira-kira sebulan selepas Terbuka Indonesia sebelum ini. Mungkin prestasi agak kurang sejak Malaysia (Masters) dan (Terbuka) Singapura, jadi harap di Jepun mampu mencapai keputusan maksimum.
“Pencapaian beregu lelaki dan beregu wanita sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat untuk kita cuba menjadi juara sama ada di Jepun atau China,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Harapan itu pastinya terarah kepada pasangan No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kembali bergandingan selepas dipisahkan seketika sebelum ini akibat tiada persefahaman.
Selepas kembali membentuk gandingan pada Terbuka Singapura hujung bulan lalu, Nova mengakui kedua-dua pemain itu sudah menunjukkan peningkatan dari segi komunikasi, sekali gus membuktikan persefahaman mereka semakin baik.
“Komunikasi mereka semakin baik tetapi prestasi itu masih belum mencapai tahap terbaik. Sekarang ada masa lebih kurang dua minggu, jadi kita manfaatkan peluang bagi melakukan persiapan,” ujar Nova.
Sebagai rekod, sejak kembali bergandingan, Tang Jie-Ee Wei hampir melangkah ke perlawanan akhir pada Terbuka Indonesia awal bulan ini, namun tersekat di separuh akhir selepas tewas kepada Dehcapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand. – KOSMO! ONLINE