MELAKA – Tiga lelaki termasuk dua beradik digelar geng ‘Yeo Gomen’ kerana didakwa mahir memecah masuk pejabat kerajaan dan sekolah sekitar daerah ini tumpas dalam satu serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 1.50 pagi, pada 21 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Tanjung Kling dan geng itu diketuai seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipanggil Yeo, manakala dua lagi merupakan adik-beradik Awi, 40, dan Fadil, 36.
“Geng ini dipercayai aktif sejak April lalu dan telah memecah masuk dua buah pejabat kerajaan serta enam buah sekolah membabitkan kerugian dianggarkan RM9,200,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Batu Berendam di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek pertama Yeo mempunyai 24 kes lampau di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan beberapa kesalahan lain, manakala Awi mempunyai lima rekod jenayah dan adiknya Fadil mempunyai 15 rekod jenayah melibatkan kes pecah rumah dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mereka menggumpil pintu belakang premis sebelum mencuri wang tunai. Hasil digunakan untuk membayar wang pendahuluan bagi membeli motosikal untuk kegiatan jenayah lain. Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 21 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE