PADANG BESAR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis meluluskan Kaedah-kaedah Perikanan Sungai bagi mengawal pembiakan spesies asing invasif (IAS) yang mengancam ekosistem perikanan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, menerusi peruntukan itu, orang ramai tidak boleh sesuka hati melepaskan IAS atau ikan pendatang ke mana-mana sungai, saliran atau kolam.
“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan di bawah kaedah ini boleh didenda sehingga RM20,000,” katanya ketika ditemui di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri, Mohammed Roshaizat Mustaffa berkata, dengan adanya Kaedah-kaedah Perikanan Sungai tersebut, orang ramai perlu mendapatkan nasihat Jabatan Perikanan sebelum melepaskan sebarang spesies ikan ke dalam sungai atau saliran awam.
Katanya, tanggungjawab semua pihak amat penting dalam mengawal kehadiran ikan ‘alien’ yang boleh menjejaskan biodiversiti, merosakkan rantaian makanan, mempercepat pembiakan IAS serta menyebarkan penyakit seperti Tilapia Lake Virus (TiLV) yang boleh menjangkiti spesies ikan tempatan seperti lampam sungai. – KOSMO! ONLINE