Dalam pasaran hari ini terdapat pelbagai jenis sejadah. Ada yang sangat empuk dan lembut sehingga tenggelam dahi apabila sujud. Sesetengah orang berpendapat bahawa itu menambahkan lagi kekhusyukan dalam solat. Sesetengah orang berpendapat tidak sah kerana tidak tetap dahi. Soalan saya, adakah dibolehkan dan sah solat di atas sejadah yang empuk dan lembut tersebut? Mohon penjelasan, terima kasih.
JAWAPAN: Pertamanya, hukum meletakkan alas hamparan di atas tempat sujud seperti kain, tikar atau sejadah adalah harus dan dibolehkan. Ini kerana, ia dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa: “Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa beliau masuk untuk menemui Nabi SAW dan beliau berkata: “Aku melihat Baginda SAW sedang mendirikan solat di atas hamparan yang dia sujud di atasnya.” (Hadis riwayat Muslim, 519)
Begitu juga, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA bahawa beliau berkata: “Pada suatu hari, aku tidur di sisi Rasulullah SAW dan kedua-dua kakiku menghala ke arah kiblat. Apabila Baginda SAW ingin sujud, dia memberi isyarat kepada-ku dan aku mendakap kedua-dua kakiku. Apabila Baginda SAW berdiri, maka aku melepaskan kedua-dua kakiku.” (Hadis riwayat al-Bukhari, 382)
Imam al-Bukhari meletakkan hadis di atas pada bab menyatakan tentang solat Nabi SAW di atas tikar.
Ibn Rajab al-Hambali dalam mensyarahkan hadis ini berkata: “Hadis ini menunjukkan bahawa Baginda SAW sujud di hujung katil (tikar) yang Saidatina Aisyah RA tidur di atasnya dan kedua-dua kakinya turut berada di atas tikar itu.”
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:27)
Namun begitu, secara asasnya, Rasulullah SAW telah menetapkan tujuh anggota perlu disentuhkan di atas tempat sujud ketika sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil
Baginda SAW mengisyaratkan tangannya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari, 812 dan Muslim, 490)
Hal ini juga seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh al-Syafie, antaranya Syeikh Hasan al-Kaff dengan berkata bahawa: “Hendaklah seseorang itu sujud di atas tujuh anggota iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki.” (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, 221)
Justeru, daripada syarat sujud di atas, maka dahi mestilah diletakkan dan ditempelkan di atas tempat sujud, tidak kira sama ada seseorang itu sujud di atas tanah atau di atas alas seperti tikar, sejadah atau tilam.
Selain itu, disyaratkan juga ketika sujud untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap serta berjejak dahinya pada tempat sujud.
Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan perkara ini bahawa: “Disyaratkan untuk menekan kepalanya (pada tempat sujud sehingga tetap dahi), iaitu pada kadar jika sekiranya dia sujud di atas kapas, maka ia melekat.” (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 221)
Oleh sebab itu, hendaklah diperhatikan kepada ketebalan sejadah tersebut, sama ada boleh untuk tetap dan berjejak dahinya ketika sujud ataupun tidak.
Sekiranya ketebalan dan kelembutan sejadah tersebut menyebabkan dahi tidak tetap dan tidak boleh ditekan, seolah-olah berada dalam keadaan terapung kerana terlalu lembut, maka tidak sah sujudnya.
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum sujud di atas sejadah yang empuk dan lembut adalah sah dan dibolehkan jika sekiranya apabila ditekan dahi padanya, maka dahi itu tetap dan berjejak pada tempat sujud tersebut.
Ini kerana, antara syarat sah sujud adalah meletakkan tujuh anggota iaitu iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki pada tempat sujud.
Selain itu disyaratkan juga untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud.
Oleh itu, jika sekiranya sejadah tersebut terlalu empuk dan lembut sehingga tidak menjadikan dahi seseorang tetap pada tempat sujud serta dirasakan seolah-olah terapung, maka tidak sah sujudnya di atas sejadah seperti itu.














