KUALA TERENGGANU – Terengganu mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik kebangsaan untuk tempoh enam tahun berturut-turut apabila memperolehi Min Purata Nilai Gred Kumulatif 3.12 bagi peperiksaan 2024 yang diumum, hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, Min PNGK 3.12 tersebut mengatasi peringkat kebangsaan iaitu 2.85.
“Seramai 110 calon memperolehi semua A Penuh dengan PNGK 4.0, manakala 162 calon pula mendapat semua A iaitu kombinasi A dan A-.
“Sebanyak 89.31 peratus atau 1,938 calon memperolehi Prinsipal dalam semua mata pelajaran diambil,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM peringkat Terengganu di Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Che Wan Zuraidi berkata, 34 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas.
Jelas beliau, antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Agama Maarif, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, SMK Paka dan SMK Imtiaz Kemaman.
“Calon SMK Sultan Ahmad, Siti Asihah Othman muncul pelajar terbaik STPM 2024 peringkat kebangsaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE