fbpx
ZARINA mengakui dia tidak pernah meminta-minta daripada orang ramai meskipun terpaksa hidup serba daif di bawah jambatan konkrit berdekatan Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. – M. FIRDAUS M. JOHARI

‘Dapat peluk kakak, keluarga sekali pun cukuplah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Di bawah jambatan konkrit yang sibuk dengan deruan kenderaan di ibu kota, Zarina Hashim, 46, meneruskan kehidupan seadanya jauh daripada keluarga yang tidak lagi diketahui keberadaan mereka.

Sejak usia 13 tahun, Zarina sudah membawa diri me­ninggalkan kampung halaman di Kuala Selangor dengan harapan mahu mencari ketenangan dan kehidupan baharu.

“Dari kecil, ibu bapa saya berpisah. Jadi, saya dibesarkan oleh datuk. Kakak saya pula, diberikan kepada ibu angkat untuk dijaga.

“Sejak itu, keluarga saya sudah terpisah. Kami sudah tidak berjumpa satu sama lain dan pada usia saya 13 tahun, saya ­keluar dari rumah datuk dan datang ke Kuala Lumpur seorang diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bawah jambatan berdekatan Jalan Sultan Sulaiman, di sini baru-baru ini.

Menurut Zarina, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupannya meskipun pada usia yang terlalu muda.

“Saya pernah kerja kedai makan, kedai baju dan banyak lagi tetapi ketika itu, tidak semua majikan mahu terima saya memandangkan saya masih budak.

“Ada yang ambil saya bekerja sebab kasihan. Jadi mereka bagi upah dan sediakan tempat tinggal,” ujarnya.

Semalam Kosmo! melaporkan, keterujaan sebahagian individu yang ingin mencari rezeki di ibu negara menjadi mimpi ngeri buat mereka apabila terpaksa menjadi gelandangan pada waktu malam selepas bekerja di siang hari kerana berdepan masalah kewangan kronik.

Bercerita lanjut, Zarina berkata, selepas beberapa tahun, dia cuba mencari keluar­ganya semula di Kuala Selangor, namun penduduk di sana memberitahu mereka sudah berpindah.

Sejak itu, Kuala Lumpur menjadi ‘rumah’ buat Zarina meskipun terpaksa hidup sebagai gelandangan.

“Hampir 20 tahun saya hidup di jalanan, di mana-mana pun boleh jadi tempat berteduh dan kini saya memilih tinggal di bawah jambatan ini sejak lebih dua tahun bersama segelintir individu lain yang senasib.

“Duduk sini sudah biasa, kadang-kadang ada polis datang buat rondaan, pemeriksaan terutama kalau ada muka baharu. Saya juga sudah lali, pernah nampak orang mati, bergaduh di bawah jambatan ini,” kongsinya.

Dia sudah tidak bekerja sejak dua tahun lalu kerana menghidap darah tinggi dan sering keletihan.

“Saya tak pernah minta apa-apa tapi kalau ada orang bagi makanan atau barangan, saya te­rima dengan syukur. Selagi saya hidup, saya cuba berdikari dan setakat ini, saya memang belum terima sebarang bantuan tetap.

“Di sini saya masak guna dapur kayu, sehari sekali makan sahaja untuk jimat. Apa yang orang beri, itu saya makan, masak, janji dapat alas perut,” jelasnya.

Setiap kali menjelang hari raya, Zarina mengakui hidupnya sangat sunyi dan apabila takbir berkumandang, air matanya mengalir tanpa sedar merindukan keluarga yang sudah lebih tiga dekad terpisah.

“Saya merancang untuk berkahwin tahun ini dan akan ikut bakal suaminya menetap di Keningau, Sabah, namun saya simpan hasrat bertemu keluarga terlebih dahulu sebelum pergi.

“Saya rindu sangat keluarga dan betul-betul nak jumpa mereka. Saya sendiri tidak tahu ibu bapa saya masih hidup atau tidak. Cuma, kali terakhir mendapat maklumat kakak saya berada di Shah Alam dan sudah berkahwin tapi hingga kini kami tak pernah jumpa. Saya harap dapat bertemu keluarga sebelum berkahwin untuk mendapatkan restu mereka,” katanya.

Ujarnya, kehidupan di jalanan bukan sesuatu yang mudah, dia hanya percaya kepada bantuan Allah untuk melindunginya sepanjang tinggal di ruang gelap.

“Kalau Allah izinkan, saya nak keluar dari kehidupan ini. Saya nak bina keluarga sendiri, ada rumah dan paling yang saya harapkan peluk semula kakak saya dan keluarga walaupun hanya sekali,” luahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN