MARANG – Seramai enam lelaki berusia sekitar 30-an dipercayai pengedar dadah berjaya diberkas polis dalam empat serbuan berasingan di daerah ini sepanjang minggu lalu.
Hasil tangkapan dari 16 Jun hingga semalam tersebut berjaya rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai keseluruhan RM16,400 selain sitaan kenderaan sebanyak RM23,000.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, tangkapan pertama berjaya menahan tiga lelaki dalam lingkungan 30 hingga 36 tahun di dalam sebuah rumah kosong di Kampung Gong Kassim, Merchang di sini pada 16 Jun lalu.
“Sebanyak 51.06 gram pil kuda dan 1.08 gram syabu berjaya di sita bersama sebuah motosikal Yamaha 125Z bernilai kira-kira RM10,000. Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine. Dua daripada mereka juga memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya sewaktu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, di sini semalam.
Mohd. Sofian berkata, serbuan kedua berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang positif dadah jenjs methamphetamine di ladang kelapa sawit di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung di sini pada 17 Jun lalu, dengan sebanyak 57.1 gram pil kuda dan sebuah motosikal Honda Wave bernilai RM10,000 dirampas.
“Serbuan ketiga polis di kawasan hutan di Kampung Batang di sini berjaya menangkap seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 219.36 gram disyaki dadah serta sebuah motosikal Honda EX5 bernilai RM3,000 pada 21 Jun lalu.
“Tangkapan terbaharu semalam di tepi jalan di Kampung Wakaf Dua, Bukit Payung pula membabitkan seorang lelaki berusia 36 tahun dan rampasan 51.59 gram pil kuda dan 4.62 gram heroin dengan nilai keseluruhan RM1,400,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE