SERDANG – Dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes jenayah pecah rumah dan curi kenderaan di Seri Kembangan, di sini, berjaya ditahan polis, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 38 dan 44 tahun itu dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Bandar Putra Permai, di sini, pada 8 Jun lalu.
“Mangsa mendakwa telah meninggalkan rumah dalam keadaan berkunci, namun pada esoknya dia mendapati bahagian pagar hadapan rumahnya sedikit terbuka dan mangga pintu utama telah diumpil. Jeriji besi pintu kanan dicabut selain keadaan rumah didapati sudah berselerak.
“Pemeriksaan mendapati barangan mangsa telah hilang termasuk kereta Proton Persona, wang tunai RM7,000, tiga beg Coach, dua komputer riba Acer, dua iPad, empat telefon pintar, seutas jam tangan, dokumen peribadi, cermin mata dan emas yang dianggarkan bernilai RM42,200,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini hari ini.
Muhamad Farid berkata, pihaknya telah merampas kereta Proton Persona, ‘walkie talkie’, sarung tangan, pemutar skru, komputer riba, iPad, telefon bimbit, wang tunai, cermin mata, kunci kereta dan rumah serta pakaian yang digunakan suspek.
Beliau berkata hasil semakan rekod lampau menunjukkan kedua-dua suspek mempunyai 41 rekod lampau jenayah dan narkotik secara keseluruhan.
“Saringan ujian air kencing mereka mendapati kedua-dua positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Mereka ini ditahan reman sejak 19 Jun sehingga hari ini dan kita akan memohon untuk menyambung reman bagi siasatan lanjut di Mahkamah Majistret Petaling Jaya,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor. – KOSMO! ONLINE