fbpx

CAAM, Mavcom gabung bentuk satu entiti mula 1 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony (tengah) bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAPA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil alih sepenuhnya fungsi pengawalseliaan ekonomi yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerusi langkah rasionalisasi bermula 1 Ogos depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet pada 11 Jun lalu meluluskan cadangan menjadikan CAAM sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB).

“Mulai 1 Ogos, CAAM dan Mavcom akan dirasionalisasikan di mana semua fungsi kawal selia industri penerbangan termasuk aspek teknikal dan ekonomi akan disatukan di bawah satu entiti iaitu CAAM.

“Keputusan itu sejajar usaha kerajaan memperkukuh institusi penerbangan negara dan memastikan Malaysia kekal sebagai negara mempunyai sistem kawal selia penerbangan teknikal dan ekonomi berwibawa, kompeten serta menepati piawaian antarabangsa.

“Selain itu, keputusan berkenaan juga menjadikan CAAM satu-satunya badan kawal selia penerbangan negara yang lebih bersepadu dan cekap,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini tadi.

Katanya, menerusi langkah rasionalisasi itu juga, ia akan meningkatkan kecekapan struktur kawal selia selain mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi yang mempunyai peranan hampir sama.

“Langkah itu selari dengan amalan terbaik antarabangsa di mana negara lain kini mengamalkan model kawal selia tunggal dalam sektor penerbangan bagi memastikan penyelarasan lebih efektif,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi status BBDSB dimiliki CAAM, Anthony berkata, entiti itu akan mempunyai autonomi pengurusan lebih luas dan fleksibiliti dalam aspek tadbir urus kewangan, pengurusan sumber manusia dan keupayaan membuat keputusan secara fleksibel.

“Status itu juga membantu CAAM mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, khususnya Pegawai Teknikal Berkelayakan (Qualified Technical Personnel – QTP) yang amat kritikal dalam menjamin keselamatan dan sekuriti industri penerbangan negara.

“Selain itu, CAAM dapat melaksanakan strategi jangka panjang selain meningkatkan keupayaan teknikal dan operasi sejajar piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa,” jelasnya.

Pada masa sama, Anthony berkata, seramai 57 kakitangan Mavcom juga akan ditawarkan penempatan bersesuaian di CAAM sebelum 1 Ogos berdasarkan kemahiran dan pengalaman dimiliki mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI