PENINGKATAN Harimau Malaya mampu dimaksimumkan sekiranya pasukan negara mendapat peluang menentang negara yang berada di ranking lebih baik, sama ada menerusi perlawanan persahabatan ataupun pertandingan rasmi.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan, berkata perlawanan dengan Cape Verde sebelum ini patut menjadi contoh terbaik hingga Harimau Malaya berjaya tewaskan Vietnam di kelayakan Piala Asia 2027.
“Bagi saya memang satu permulaan yang baik apabila kita bermain dengan Cape Verde, saya lihat satu mutu permainan bola sepak yang tinggi dan sedikit sebanyak ini telah memberi kesan apabila kita menentang pasukan Vietnam.
“Jadi, dengan lebihnya perlawanan seperti ini (menentang pasukan ranking lebih tinggi), walaupun tewas kita memperoleh pengajaran.
“Saya rasa kita sudah melihat ke arah itu ataupun bermain seperti pasukan Korea Selatan, Jepun atau pasukan di Timur Tengah. Jadi, di sini kita akan teruskan untuk sampai di satu tahap yang kita kehendaki,” katanya pada Majlis La Liga Extratime, semalam.
Sejak kelmarin, tular di media sosial Harimau Malaya mungkin akan menyertai Kejohanan Piala Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Ogos hingga 9 September nanti.
Jika ia menjadi kenyataan, ia menjadi proses pembelajaran berguna buat Harimau Malaya kerana ia dikatakan turut membabitkan penyertaan jaguh bola sepak Asia seperti Iran, Uzbekistan, Turkmenistan, Tajikistan dan Kyrgyzstan.