fbpx
Antara ikan patung yang pernah saya dapat menggunakan gewang micro jig.

K2

Patung, ikan tempatan perlu dihargai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam banyak-banyak ikan tempatan, patung adalah antara ikan yang dapat bertahan dengan agak baik di perairan yang telah dijarah oleh spesies pendatang. Saya berasa amat bersyukur dapat memperkenalkan ikan ini kepada anak-anak.

Semakin lama, semakin teruk perairan air tawar di negara kita dipenuhi oleh pelbagai spesies ikan pendatang. Antaranya adalah tilapia, peacock bass, keli Afrika, baung ekor merah, bermacam jenis ikan patin dari Thailand dan lain-lain lagi dengan ikan bandaraya menjuarai cartanya.

Ada pemancing mengambil faedah atas kehadiran ikan-ikan pendatang ini dengan memancingnya atas dasar sukan. Ada yang membawa balik sebagai juadah keluarga atau dibuat hasil sampingan seperti ikan masin atau pekasam.

Itu terpulang kepada masing-ma­sing punya niat, tiada sesiapa yang salah atau betul apabila melibatkan spesies ikan pendatang ini.

Namun saya lebih menghargai spesies ikan asli tempatan yang wajib dipelihara dan dijaga supaya tidak pupus secara total.

Ikan asli kita yang bersaiz kecil dan hidup di habitat air paya gambut seperti puyu, kepar, sepat, laga, temakang dan patung bukanlah jenis ikan yang perkasa seperti haruan, toman, tengas, kelah atau sebarau yang menjadi target utama pemancing untuk cabaran pertarungannya.

Malah, ikan-ikan ini bukan saingan dari segi tenaga berbanding ikan-ikan tempatan bersaiz kecil yang lain se­perti lampam, jelawat, terbul, kelabau, tenggalan dan seangkatan dengannya. Jadi, tidak hairanlah ikan-ikan kecil ini kurang mendapat perhatian ramai.

Ikan-ikan ini juga kurang melawan dan selayaknya dipancing menggunakan set pancingan ultralight.
Dalam kes ikan patung yang dipancing ini, kami hanya menggunakan joran teleskopik yang dipasang tali halus bermata kail saiz kecil di hujungnya.

Lembah Jernih

Saya suka membawa keluarga bercuti di satu kawasan di Batu Gajah, Perak yang dipanggil Lembah Jernih. Ia memiliki kemudahan bilik-bilik chalet yang dibina bersebelahan satu lombong besar. Terdapat perkhidmatan bot sewa bagi penginap dan sasaran utama pemancing biasanya adalah ikan toman dan peacock bass di lombong tersebut.

Antara ikan patung saiz kasar yang dipancing Daniel.

Di situ juga terdapat satu jeti bagi penginap bersantai menikmati pa­norama lombong. Di bawah jeti itu, ada ‘kampung’ kumpulan ikan patung dan saiznya juga boleh tahan. Mulanya, saya tidak mengetahui akan adanya kumpulan ikan patung di situ.

Waktu malam, anak bongsu saya, Ryan memberi makan roti kepada ikan di situ. Jadi, apabila melihat ada ikan merapati roti saya sangkakan ia adalah ikan tilapia, tetapi apabila diamati secara teliti rupanya ikan patung.

Terus set pancing ultralight dipa­sang dengan hanya mata kail saiz kecil diikat terus ke shock leader.

Tidak perlu guna batu ladung mahupun pelampung kerana getuan ikan ini sangat halus, sedar-sedar tali sudah bergerak menandakan mata kail sudah tertancap di mulutnya.

Sekejap sahaja seekor demi seekor ikan patung dinaikkan, sebelum dilepaskan semula, tetapi kami dapati ia cepat culas dan menghilangkan diri.

Nasib baik jaring simpanan ikan (fish keep net) sentiasa dibawa, jadi setiap ikan patung yang dinaikkan disimpan di dalam jaring terlebih dahulu.

Semakin banyak ikan patung yang dipancing, semakin besar saiznya yang kami dapat.

Ikan patung di situ juga cerdik, ia tidak mahu makan roti rasuah yang terapung dan bersaiz besar.

Kami kepal roti kecil-kecil sehingga padat, barulah dilepaskan ke dalam air, jadi roti rasuah tadi perlahan-lahan tenggelam ke dalam air.

Boleh kelihatan di air yang jernih, di bawah lampu jeti, kumpulan ikan patung keluar dari samai untuk mengambil roti rasuah tadi.

Pesta ikan patung tidak berlangsung lama, ia tiba-tiba menjadi senyap.

Puas menunggu, akhirnya kami dapat tahu puncanya.

Rupa-rupanya ada sepasang ikan toman mundar-mandir di kawasan jeti, patutlah kumpulan ikan patung melarikan diri.

Malam semakin lewat, sebelum kami pulang ke bilik, ikan-ikan patung yang disimpan di dalam jaring dilepaskan semula.

Esok siang anak-anak saya mencuba memancing ikan patung tetapi hanya saiz kecil yang sudi.

Ikan patung bersaiz kasar pula mungkin lebih cerdik dan culas, ia menyorokkan diri daripada ikan pemangsa seperti toman serta peacock bass yang sememangnya banyak di lombong ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN