fbpx
SUV ini mendapat sambutan hangat di Malaysia apabila menerima 150 tempahan selepas seminggu dilancarkan, manakala di peringkat global sebanyak 650,000 unit telah terjual.

Tank 500 SUV off-road mewah China terunggul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN kenderaan utiliti sukan (SUV) off-road jenama Great Wall Motor (GWM), Tank 500 dengan gabungan kemewahan dan prestasi lasak menjadi faktor tarikan pelanggan.

Mungkin ada yang skeptikal dengan Tank 500 dari China ini memandangkan saiznya agak besar tetapi dikatakan mampu memberikan prestasi luar biasa sebagai sebuah kenderaan menggunakan teknologi hibrid (HEV).

Tank 500 dikatakan mampu bersaing dengan SUV jenama lain di pasaran dalam lingkungan harga dan segmen sama.

Direka dengan rupa yang garang tetapi premium seakan Toyota Land Cruiser, Tank 500 mempunyai kelebihan setara pada harga jauh lebih rendah dengan konfigurasi tujuh tempat duduk.

Gelombang SUV off-road mewah itu mula dirasai apabila GWM Malaysia mengumumkan telah menerima sebanyak 150 tempahan bagi Tank 500 selepas seminggu dilancarkan pada Pameran Automotif Malaysia 2025 awal Mei lalu.

Dengan harga pasaran RM328,800 pengguna boleh memiliki Tank 500 baharu berbanding Toyota Land Cruiser recon (kereta import terpakai dari luar negara yang telah dibaik pulih) pada harga RM450,000 memandangkan model itu tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia.

rekaan luarannya yang tampak memikat dan mirip SUV premium lain di pasaran yang berharga lebih tinggi.

Dari segi dimensi, Tank 500 berukuran 5,078 milimeter (mm) panjang, 1,934mm lebar, 1,905mm tinggi serta jarak roda 2,850mm.

Saiznya hampir sama dengan Toyota Land Cruiser tetapi lebih lebar dengan SUV premium Jepun itu berdimensi 4,985mm panjang, 1,980mm lebar, 1,955 tinggi, manakala jarak antara roda sama 2,850mm.

Beralih kepada prestasi, Tank 500 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocharger 4 silinder yang dipadankan dengan transmisi automatik hibrid 9 kelajuan.

Gabungan dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa agak tinggi 346 PS dan tork 648Nm.

HEV pada SUV off-road mewah ini menggabungkan enjin pembakaran dalam (petrol) dengan motor elektrik untuk menjana kuasa yang lebih cepat dan dapat menjimatkan penggunaan bahan api.
Toyota Land Cruiser pula dikuasakan oleh enjin 3.5 liter V6 Twin Turbo Petrol menghasilkan kuasa 409 PS dan tork 650Nm.

Aura premium dan mewah juga dapat dirasakan di bahagian dalam jentera ini

Lebih menarik, pengguna perlu mempertimbangkan untuk memiliki Tank 500 kerana cukai jalan jentera ini hanya RM439.20 setahun berbanding Toyota Land Cruiser mencecah RM2,350.40.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai sesi pandu uji Tank 500 bersama rakan media lain dari ibu negara ke Pulau Pinang bagi merasai pemanduan jalan bandar, lebuh raya dan kawasan off-road.

Walaupun bersaiz besar dan berasaskan hibrid, prestasi Tank 500 tidak mengecewakan, pecutan adalah selari apabila pedal minyak ditekan pada had kelajuan sehingga 140 kilometer sejam (km/j) di lebuh raya.

Walaupun dibina atas kerangka badan ladder frame, pemanduan Tank 500 tidak terasa seperti sebuah pacuan empat roda lasak, sebaliknya keselesaan pemanduan sama seperti sebuah kereta mewah.

Tank 500 juga mempunyai kadar kesenyapan kabin (NVH) yang baik, dengan bunyi bising dari luar kenderaan sangat minimum termasuk bunyi deruman enjin.

Ketahanan SUV mewah ini tidak dapat disangkal apabila dikatakan mampu mendaki dan melalui laluan ekstrem dengan penuh yakin melalui teknologi terkini yang ditawarkan.

Lebih menarik, Tank 500 dilengkapi dengan teknologi canggih iaitu mempunyai bukan satu tetapi dua unit ‘Differential Lock’ pada gandar belakang dan hadapan.

Walaupun SUV Tank 500 ini berorientasikan lasak, namun ciri premium dan keselesaan masih menjadi keutamaan.

Meninjau ke ruang kabin, membuatkan penulis teruja dengan sentuhan premium apabila kerusi pemandu dan penumpang dibalut dengan kulit Nappa warna hitam.

Sementara ruangan dashboard mempunyai elemen trim kayu, jam analog di bahagian tengah kabin serta dilengkapi dengan sistem pembesar suara jenama Infinity.

SUV off-road mewah ini turut dilengkapi dengan soket USB di bahagian bonet belakang yang amat praktikal untuk aktiviti berkhemah atau beriadah.

Tank 500 yang dikatakan ‘Abang’ kepada Tank 300 digelar SUV off-road mewah China pada carta pertama ketika ini, jadi tidak hairanlah sebanyak 650,000 unit jentera ini telah dijual di seluruh dunia.

Ada yang mengatakan harganya agak tinggi, namun ciri-ciri lasak dan premium yang ditawarkan menjadikan Tank 500 sebagai pilihan terbaik selain mempunyai peminat tersendiri.

Untuk memudahkan pemanduan, SUV off-road ini dilengkapi kamera 360 darjah selain mempunyai fungsi kamera tembus lihat termasuk di bahagian bawah bagi memberi keyakinan kepada pemandu.

Kesimpulannya, harga kompetitif serta tawaran prestasi Tank 500 sebagai sebuah SUV off-road mewah untuk pemanduan keluarga merupakan faktor utama yang boleh dipertimbangkan.

Kalau anda mencari SUV lasak yang selesa, ini boleh menjadi antara pilihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN