KUANTAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kuantan berhampiran Kampung Tanah Putih Batu 3 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Syed Alwi Syed Mohd Ali Hanafiah, 30, dan abangnya datang ke lokasi untuk memancing di bawah Jambatan Tanah Putih pada pukul 3 petang semalam.
“Mangsa dipercayai turun ke sungai untuk mandi sebelum dihanyutkan arus dan tenggelam.
“Saksi cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal dan memaklumkan kejadian itu kepada saudaranya sebelum menghubungi Talian 999 bagi mendapatkan bantuan,” katanya hari ini.
Sementara itu,Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Ibrahim berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.29 petang melakukan operasi pencarian menggunakan teknik pencarian di permukaan.
Anggota bomba turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), tetapi setakat pagi ini mangsa masih belum ditemui.- KOSMO! ONLINE














