KUALA LUMPUR – ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dipilih sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, logo Malaysia MADANI yang diperkenalkan itu juga akan dikekalkan hingga 2027 sebagai simbol perpaduan nasional yang konsisten dan dikenali rakyat.
“Tujuan tema ini dipilih bagi menggambarkan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diperjuangkan,” katanya dalam satu sidang akhbar mingguan dan pengumuman logo serta tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Angkasapuri di sini hari ini.
Menurutnya, pelbagai program juga telah disusun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat melibatkan pelbagai peringkat pelaksanaan dari nasional hingga ke akar umbi masyarakat.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2025 ini, beberapa acara utama telah dianjurkan untuk meningkatkan semangat jiwa merdeka dalam kalangan masyarakat di seluruh Malaysia.
“Antaranya termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang akan berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai,” katanya.
Dalam pada itu, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia akan berlangsung di Pulau Pinang pada 16 September depan mengikut sistem penggiliran di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Amalan pemilihan lokasi ini penting bagi menyemai rasa kebersamaan dan semangat perpaduan antara seluruh negeri dan wilayah di Malaysia,” katanya. -KOSMO! ONLINE.