PETALING JAYA – Legenda bola sepak, Baddrol Bakhtiar mencuri perhatian ramai apabila hadir menyaksikan perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara semalam.
Menerusi perkongsian di media sosial, Baddrol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun datang ke stadium sebagai tanda sokongan kepada pasukan kebangsaaan sesuai dengan statusnya permata bola sepak tanah air.
Namun, paling mencuri tumpuan adalah sikap rendah diri Baddrol yang duduk di tangga stadium ketika menonton perlawanan itu tanpa sebarang layanan khas. Baddrol hadir bersama Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Rata-rata peminat sukan tanah air meluahkan rasa kagum dan terharu dengan kehadiran serta sokongan yang ditunjukkan oleh figura terkenal itu, meskipun sudah terjun dalam dunia politik sepenuh masa.
“Tidak perlu duduk di tempat duduk VIP. Bagus kongsi seat (tempat duduk) dengan 61,000 penyokong. Salute (Tabik hormat)!” kata Ehkucai.
“Anda adalah hero sebenar pasukan Malaysia. Terbaik Baddrol bekas pemain kebangsaan duduk tempat penonton tiada layanan istimewa pun tiada masalah,” ujar ZaidZairazi.
“Terbaik YB tetap datang menyokong Harimau Malaya sebab dulu sebahagian daripada pasukan negara,” komen Junaidimohdtahir. – KOSMO! ONLINE