BEIJING – Pengunjung sebuah taman hiburan di Zhengzhou, wilayah Henan cemas apabila sebuah roller coaster rosak, menyebabkan sebilangan orang tergantung di udara dalam keadaan terbalik, lapor laman berita VNExpress kelmarin.
Menurut beberapa saksi, permainan itu sedang meluncur naik ke atas melepasi bahagian dengan sudut 90 darjah apabila ia terhenti secara tiba-tiba.
Ia menyebabkan lebih 12 penumpang tergantung di udara dalam keadaan terbalik selama beberapa minit.
Seorang mangsa berkata, dia berasa pening dan mengalami kabur penglihatan ketika kejadian serta menyifatkannya sebagai detik antara hidup dan mati.
Menurut pengurusan taman tersebut, kerosakan itu berpunca daripada duit syiling yang terjatuh daripada penumpang dan tergelincir ke dalam peralatan.
Ia mencetuskan brek kecemasan dan menyebabkan permainan itu berhenti berfungsi, lapor laman berita Newsflare.
Taman hiburan itu segera memulakan prosedur kecemasan, manakala semua penumpang selamat dibawa turun dalam beberapa minit. – AGENSI