PETALING JAYA – “Kalau lembu pun boleh tunggu untuk melintas, takkan bas ekspres tak boleh brek?”
Itu persoalan netizen selepas satu video memaparkan sebuah bas ekspres dilihat memotong garisan berkembar secara melulu sebelum merempuh beberapa ekor lembu yang melintas di laluan Kuala Krai-Gua Musang pagi tadi.
Menerusi perkongsian Abdul Qayyum Hadi di Facebook, lelaki itu meluahkan rasa geram dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu bas berkenaan yang nyaris menyebabkan kemalangan besar.
“Situasi genting yang kami alami. Fikiran terus melayang kepada kejadian lori melanggar anak gajah. Geram sungguh dengan pemandu bas ini. Jalan kecil nak memotong juga.
“Padahal jalan dah sesak dari awal lagi, bukannya boleh cepat pun. Dia mungkin terselamat, kami ini pemandu kecil mungkin berisiko tinggi kalau-kalau lembu tercampak depan kereta,” katanya.
Menerusi rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 29 saat, kelihatan sebuah kereta berhenti bagi memberi laluan kepada lembu yang melintas, namun pemandu bas didakwa tidak memperlahankan kenderaannya.
Situasi itu turut mengundang kemarahan netizen yang mengecam tindakan pemandu bas dan tuan lembu yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran tanpa kawalan.
“Lembu siapa yang dibiarkan bebas begitu? Bas pun mungkin tengah kejar trip,” kata Abu Al Zahra.
“Buat laporan dan kongsi nombor plat bas. Jangan biarkan macam itu je,” ujar Natasha Amarilis.
“Salah bas, terang-terangan potong garisan berkembar,” kata Muhammad Zul Nazmi.
Bagaimanapun, video asal bagaimanapun sudah dipadamkan pemiliknya selepas tular namun sempat dikongsi pengguna media sosial lain.
Setakat ini, tiada laporan kemalangan jiwa diterima berhubung kejadian itu namun orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada terutama ketika melalui jalan sempit dan gelap.– KOSMO! ONLINE