Mula ditubuhkan pada 1976 dan tersenarai di Pasaran Utama, Bursa Malaysia, MajuPerak Holdings Berhad (MHB) terus kukuh mengoperasikan perniagaan terasnya dalam segmen pembangunan dan infrastruktur hartanah, pengurusan aset dan fasiliti, tenaga boleh diperbaharui, perdagangan serta komersial.
Meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar, transformasi MHB yang diterapkan sejak 2022 yang memberikan penekanan terhadap kawalan kos berdisiplin demi mengurangkan perbelanjaan operasi, inisiatif tersebut telah berjaya dan memberi impak kepada syarikat dan mencatat keuntungan memberangsangkan.
Segmen pengurusan fasiliti menjadi penyumbang pendapatan terbesar bagi MHB dengan purata 68 peratus ekoran kejayaan pengambilalihan Allied Group pada 2022, sekali gus mengembangkan portfolio itu dengan perlu menguruskan 144 bangunan strata secara kontrak tahunan.
Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, keutamaannya kini adalah untuk menstabilkan syarikat dan membina asas yang kukuh.
“Pemulihan kewangan dan pengukuhan perniagaan teras serta langkah-langkah pengurangan kos yang agresif di samping memperkemas operasi, merupakan prospek utama.
“Tumpuan kami sepenuhnya adalah merealisasikan ‘Projek Pemangkin’ utama yang bakal memacu kebangkitan semula MHB dengan menyumbang secara signifikan kepada kedudukan kewangan secara mampan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ipoh baru-baru ini.
KOSMO!: Apa perkembangan terbaharu MHB?
MUHAMMAD YAZURIN: Keutamaan segera adalah menstabilkan syarikat bagi membina asas-asas yang kukuh untuk kestabilan yang berpanjangan.
Perancangan strategik ini melibatkan pemulihan kewangan, pengukuhan perniagaan teras selain langkah-langkah pengurangan kos agresif selain menambah baik operasi.
Sejujurnya, langkah-langkah transformasi bersifat radikal yang dimulakan sejak 2022 mula membuahkan hasil positif seperti pengumuman kami kepada Bursa Malaysia. Bagi suku keempat 2024, MHB telah mencatatkan hasil sebanyak RM8.78 juta dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM6.29 juta.
Momentum ini berpanjangan pada suku pertama 2025 apabila syarikat berjaya meraih hasil RM12.01 juta dengan rekod PAT sebanyak RM1.45 juta. Ini menjadi bukti keberkesanan pelan pemulihan kami selain memberikan asas yang kukuh bagi membina momentum pada masa depan.
Transformasi MHB agak signifikan bagi dua suku pertama. Apakah faktor katalisnya?
Tumpuan kami merealisasikan ‘Projek Pemangkin’ utama yang bakal memacu kebangkitan semula MHB dengan menyumbang secara signifikan kepada kedudukan kewangan.
Projek-projek bersifat ‘dakwat hitam’ (black ink projects) dikenal pasti sebagai prospek utama iaitu Taman Tasik Ardea dengan projek pembangunan hartanah yang signifikan di Batu Gajah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM142 juta.
Setakat ini, ia menunjukkan tahap kemajuan jualan yang baik iaitu 210 daripada 601 unit terjual selain dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2026.
Syarikat turut terlibat dalam pembinaan Empangan Jor di Tapah dengan TNB Power Generation Sdn. Bhd. yang bernilai RM39 juta, dijangka siap menjelang Jun 2026.
Projek tenaga boleh diperbaharui yang menjadi antara asas portfolio syarikat diteruskan di Keramat Pulai dengan projek solar 1.5 megawatt.
Selain itu, Bazar Ipoh (dahulunya Silveritage Galleria) dirancang menjadi ‘pusat sehenti’ produk-produk Perak dan sebuah ‘event hotspot’ dengan kadar penghunian semasa sebanyak 94 peratus.
Pembangunan Tasik Cermin sebagai destinasi pelancongan akan terus diperkasa dengan kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa yang meningkat saban tahun.
Bagaimana pula tanggungjawab sosial korporat kepada negeri dan rakyat termasuk kelestarian alam sekitar?
DNA MHB secara asasnya adalah pembangunan hartanah terutamanya sektor perumahan. Dasar Perak Sejahtera 2030 dikhusus kepada golongan muda berkeluarga agar dapat memiliki rumah pertama dengan harga mampu milik.
Sebagai contoh Rumah Perakku 1, 2, 3 di Tasik Ardea bermula RM90,000 hingga RM250,000 dengan mengambil kira kemampuan rakyat khususnya dalam kalangan golongan B40 hingga M40.
Pembangunan solar di bumbung (roof top) yang bersifat mesra alam dan tidak memerlukan saiz yang besar juga adalah sebagai usaha menuju kelestarian alam sekitar secara holistik.
Bagaimana MHB melihat portfolio dan teras perniagaan dalam situasi ekonomi yang mencabar kini?
Menjangkau prospek lebih 24 bulan kedepan, MHB komited meneruskan momentum projek-projek pemangkin untuk meneroka peluang-peluang pertumbuhan baharu selain mengoptimumkan aset-aset terutama pegangan tanah yang luas.
Projek-projek ‘lampu hijau’ (green light projects) ini menyumbang pertambahan nilai hartanah iaitu pembangunan perumahan di Trong Bakti (277 Unit) dan Changkat Rembian (202 unit).
Selain itu, pembangunan bank tanah yang signifikan di Seri Iskandar (262.8 hektar), pembangunan taman perindustrian SVTP2 (188 hektar) dan mengembangkan lagi projek solar secara sedia ada iaitu .66 MW dan rancangan untuk Penambahan Roof-top Solar dan pengecas EV.
erdasarkan kejayaan Tasik Cermin, kami akan menguruskan lokasi eko-pelancongan utama yang lain di Perak iaitu Gua Tempurung dan Teluk Batik.
MHB menceburi pembinaan sivil dengan memanfaatkan kepakaran kami dan menyokong pembangunan infrastruktur berkemungkinan di bawah Perjanjian Pembangunan Induk (MDA) dengan PKNP. -KOSMO! ONLINE