PETALING JAYA – Kertas siasatan kes selebriti disyaki melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun masih berada pada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan tersebut belum diserahkan kepada pihak polis.
“Kertas siasatan belum lagi turun daripada pejabat pendakwaan. Jika ada arahan pendakwaan, saya akan maklumkan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada selebriti tersebut bakal dituduh ke mahkamah berhubung kes yang dihadapinya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, kertas siasatan kes selebriti disyaki melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun sudah diserahkan kepada TPR pada Khamis.
Shahrulnizam mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Kosmo! sebelum ini.
Terdahulu, selebriti tersebut ditahan polis selepas melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel, di sini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dilaporkan berkata, mangsa dikatakan berkenalan dengan suspek di sebuah kafe tempatnya bekerja sejak tiga bulan lalu.
Suspek kemudian mengajak mangsa bertemu di sebuah hotel dan didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal. – KOSMO! ONLINE