fbpx

Guenther Steiner bakal kembali warnai litar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STEINER meninggalkan Haas pada 2024 ekoran hubungannya bersama pemilik pasukan itu, Gene Haas retak ekoran prestasi pasukan tersebut yang merudum. - AFP

BEKAS ketua pasukan Formula Satu (F1) Haas, Guenther Steiner dilaporkan bakal membuat kemunculan semula dalam dunia permotoran tetapi kali ini bukan di litar F1, sebaliknya dalam saingan MotoGP.

Menurut laporan antarabangsa, Steiner kini dalam perbincangan bersama pasukan Tech3 MotoGP untuk menyertai mereka.

Meskipun butiran tepat mengenai jawatan beliau masih belum dimuktamadkan, ketua pasukan Tech3, Herve Poncharal memberi bayangan Steiner boleh terbabit sebagai pelabur, rakan strategik, pemegang saham minoriti ataupun membantu dari aspek penajaan.

“Pengalaman luas Steiner dan gaya komunikasi yang lantang dan jujur amat disenangi kami di Tech3,” kata Poncharal.

Steiner sebelum ini dipecat oleh pasukan Haas menjelang musim 2024 dan sejak itu hanya tampil sebagai pengulas televisyen dan tiada sebarang petanda beliau akan kembali ke kancah F1.

Steiner memulakan kariernya dalam Kejohanan Rali Eropah bersama Prodrive, sebelum menyertai pasukan Jaguar F1 pada 2001 dan kemudian berkhidmat bersama Red Bull hingga 2008, termasuk mengetuai usaha mereka dalam NASCAR.

Beliau menjadi nadi utama di sebalik penubuhan dan pengurusan pasukan Haas F1 sejak 2016 dan karakter jujur serta penuh semangat Steiner turut menyerlah dalam dokumentari popular Netflix, Drive to Survive menjadikan beliau antara figura paling dikenali di paddock F1. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI