PASUKAN Penang FC menjadi kelab terawal mengumumkan ramai kehadiran pemain-pemain baharu bagi menguatkan pasukan sebelum tirai rasmi Liga Malaysia dibuka semula pada Ogos depan.
Skuad Harimau Kumbang berjaya menandatangani penyerang import berpengalaman, Bruno Suzuki selepas kontrak pemain kelahiran Jepun itu bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) berakhir bulan lalu.
Penang FC dalam satu kenyataan mengharapkan pemain berdarah kacukan Brazil-Jepun itu dapat menyinar bersama pasukan kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail dalam usaha mencabar kelompok atasan liga musim depan.
“Penang FC dengan penuh rasa bangga mengumumkan ketibaan penyerang prolifik, Bruno Suzuki yang memulakan kerjayanya di Jepun bersama kelab ternama Gamba Osaka sebelum mencipta nama di beberapa liga Asia termasuk Singapura, Thailand, dan Malaysia.
“Suzuki bukan sahaja membawa pengalaman luas, malah memiliki rekod permainan yang membuktikan kemampuannya sebagai penyerang tajam yang mampu mencabar mana-mana benteng pertahanan lawan,” kata kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE