Apa yang menarik di Langkawi, Kedah adalah terdapat pelbagai spesies ikan yang menjadi buruan pemancing seperti kerapu, tenggiri, merah, siakap putih, bandang, cencaru kuda, alu-alu dan senangin. Bagi trip saya kali ini, ikan jenahak bersaiz kasar dan berwarna keemasan yang biasanya pemancing gelar ikan ‘bantal emas’ menjadi buruan.
Bermacam teknik pancingan boleh dipraktikkan di sini termasuklah trolling, casting, jigging, fly fishing dan berhanyut umpan. Bagi kumpulan saya, kami tegar dengan pancingan dasar menggunakan pelbagai jenis umpan.
Untuk pancingan dasar, kebiasaannya kami gemar menggunakan set pancingan kekili elektrik kerana ia lebih mudah dan pantas, serta tidak memenatkan terutamanya jika menggunakan batu ladung bersaiz besar.
Rata-rata ahli kumpulan saya juga ‘orang-orang lama’ yang sudah pencen dengan kederat sudah tidak seberapa berbanding pemancing muda. Namun, ada antara kami yang masih ‘perkasa’ dan memilih set pancingan kayuhan manual kerana lebih ‘feel’ ketika menaikkan ikan dasar, biarpun dari tempat dalam.
Cerita trip
Saya bersama rakan-rakan yang lain pernah merancang untuk memancing di sekitar Pulau Langkawi dengan menaiki bot Empayar Mahsuri. Namun, hasrat tersebut terbatal setelah bot itu terkena musibah, dua minggu sebelum giliran trip pancing kami.
Kami ingat terkuburlah harapan untuk memancing di Langkawi, namun hasrat tersebut timbul kembali apabila bot yang dikenali sebagai Northern Hunter menjelma sebagai penggantinya.
Ahli trip dihubungi dan dikumpul semula, lantas persiapan alatan memancing yang terhenti bersambung semula. Tali pancing, perambut, mata kail dan batu ladung yang bersesuaian dibeli selengkap-lengkapnya.
Kiranya kami sudah cukup bersedia untuk trip. Keadaan cuaca juga baik, begitu juga dengan keadaan arus.
Proses memunggah barang ke bot juga lancar, sebelum meluncur pergi dari jeti dengan selamat.
Setelah kami sampai di perairan Langkawi, tekong Yazid memberhentikan bot untuk mengambil umpan sotong hidup yang telah dikumpulkannya dan ditinggalkan di dalam sangkar terapung di tengah laut.
Selepas umpan sotong hidup berpindah ke kotak simpanan umpan hidup yang sudah tersedia di dalam bot, kami terus bergerak menuju ke lubuk pilihan.

Pesta jenahak
Kami sampai di lokasi pertama ketika hari sudah malam. Sebaik bot berlabuh, masing-masing bergegas ke posisi pancingan di atas bot.
Lokasi ini berkedalaman dasar antara 43 ke 55 meter (m).
Dasarnya berupa lubang-lubang yang dipagari karang iaitu tempat terbaik sebagai ‘rumah’ ikan jenahak.
Benar seperti dikata, pesta menaikkan ikan bantal emas bermula dengan Fadzli yang memancing di belakang bot memperoleh jenahak pertama dalam lingkungan berat 2.3 kilogram (kg).
Tangkapan ikan jenahak berikutnya berjaya diperolehi oleh Wan yang duduk berhampiran Fadli dengan saiz lebih kurang sama.
Kemudian, giliran rakan yang berada di bahagian hadapan bot pula. Diikuti oleh seorang lagi di posisi yang sama. Selepas itu, giliran
saya pula dengan ikan jenahak seberat 4.2kg.
Pendek kata, pemancing sekeliling bot dapat menaikkan ikan jenahak. Namun pelik, selepas itu suasana menjadi senyap seketika.
Saya menjangkakan mungkin ada kena mengena dengan perubahan arus menyebabkan nafsu makan ikan terhenti sekejap.
Namun, tidak menunggu terlalu lama, sebaik air mula pasang, pesta jenahak bersambung semula.
Boleh kata semua ahli trip merasa menaikkan ikan jenahak dan rata-rata ikan boleh dikategorikan sebagai ‘bantal emas’.
“Malam ini kita telah masuk ke rumah jenahak, ‘pulun perabih’ (bagi habis dalam loghat Utara),” kata tekong bot Yazid.
Hari kedua dan terakhir
Kami bergasak dengan ikan jenahak hingga ke subuh. Sebaik sahaja hari cerah, pesta jenahak juga terhenti.
Tekong membuat keputusan untuk berpindah ke lubuk-lubuk lain pula. Hasil perpindahan ke beberapa lokasi tersebut, kami hanya berjaya memperolehi ikan sampingan seperti mayong, kaci dan gerut-gerut.
Dalam pada itu, Latip memperoleh seekor tenggiri dengan kaedah menghanyut umpan ikan selar hidup.
Pak Tam pula berhasil mendaratkan seekor pari minyak dengan saiz kasar yang sebahagian isinya dijadikan lauk asam pedas untuk kami semua.
Kami semua berehat panjang pada siang itu kerana puas dan penat menaikkan ikan jenahak tanpa henti, ditambah kekenyangan selepas ‘pekena’ lauk asam pedas pari yang power.
Malam menjelma kembali dan persediaan mantap dilakukan dengan tali perambut lebih kuat diperlukan berbanding sewaktu siang tadi kerana kami menjangkakan akan bergasak dengan jenahak lagi. Namun, rezeki bukan selalunya berpihak, tetapi tetap ada beberapa ekor lagi ikan jenahak yang sudi memenuhkan tong.
Ini kerana, ikan jenahak di lubuk terakhir itu makan agak berjarak waktu iaitu antara satu hingga dua jam untuk seekor. Saya pula berhasil mendaratkan seekor kerapu saiz kasar
Selepas sarapan pagi, bot mula bergerak pulang. Trip ini selamanya akan saya ingat kerana dapat merasai pesta jenahak yang jarang-jarang dialami selama saya memancing.














