PUTRAJAYA – Kerajaan akan menguatkuasakan Permit Masuk Kenderaan (VEP) secara sepenuhnya bermula 1 Julai ini di pintu sempadan darat Malaysia – Singapura.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilik kenderaan asing persendirian yang didapati tidak mendaftar atau mengaktifkan VEP akan dikenakan notis saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kalau mereka (kenderaan persendirian) tiada VEP yang sah dan mereka memasuki Malaysia, mereka akan dikenakan saman iaitu RM300 dan saman itu perlu dibayar sebelum mereka meninggalkan Malaysia.
“Mengapa kita laksanakan 1 Julai ini? Ini kerana masa yang telah diberikan agak panjang seperti yang kita katakan, kita bermula dengan ‘soft approach’ advokasi pada 1 Oktober 2024,” katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE