fbpx
Penggunaan kerusi berdiri dikatakan mampu meningkatkan jumlah penumpang dalam pesawat.

K2

Kerusi berdiri dalam pesawat, idea realistik atau gimik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERITA mengenai kerusi berdiri atau stand-up seats yang dikhabarkan akan diperkenalkan oleh syarikat penerbangan tambang murah (LCC) antarabangsa seperti Ryanair, VivaColombia atau Wizz Air bukan perkara baharu.

Sebaliknya, hal itu sudah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu, namun masih belum mendapat kata putus.

Terbaharu, syarikat LCC dari Ireland, Ryanair mendedahkan akan menawarkan pilihan tempat duduk berdiri yang harganya jauh lebih murah.

Tempat duduk menyerupai pelana basikal yang dipasang secara menegak itu membolehkan penumpang duduk bersandar sepenuhnya.

Pada asasnya, penumpang akan berada dalam kedudukan separa tegak sambil disokong oleh tempat duduk kecil. Penyandar belakang dapat membantu memastikan postur badan penumpang stabil.

Ketua Pegawai Eksekutif Ryanair, Michael O’Leary berkata, penumpang penerbangan tambang murah telah banyak mengorbankan keselesaan demi mendapatkan harga ‘mampu milik’.

Ujarnya, penggunaan kerusi berdiri menjadi solusi buat penumpang yang inginkan harga lebih murah ketika menaiki pesawat.

“Apabila mereka memilih untuk terbang bersama syarikat tambang murah, pelanggan perlu sedar bahawa mereka telah korbankan keselesaan.

“Saya bertanyakan kepada anda, mengapa kita boleh berdiri dalam tren atau bas untuk perjalanan satu jam, tetapi tidak dalam kapal terbang?

“Bagi saya, jika tawaran tempat duduk berdiri dalam kapal terbang ini semakin banyak, maka mereka akan berebut-rebut untuk menaikinya, terutama bagi penerbangan domestik yang mungkin memakan masa sekitar satu jam,” katanya memetik laporan Aero Tech News.

Permintaan tinggi terhadap penerbangan tambang murah pada musim perayaan membuatkan O’Leary mencadangkan agar kerusi berdiri diperkenalkan.

Malah, perkara itu membolehkan syarikat LCC menampung lebih ramai penumpang dalam kabin bagi penerbangan jarak dekat.

Biarpun O’Leary kelihatan menyokong kerusi berdiri digunakan kepada penumpang, namun Ryanair menafikan akan menawarkannya pada tahun depan.

Semantara itu, khabar angin tentang kerusi berdiri yang hangat diperkatakan sejak pertengahan bulan lalu telah mencetuskan rasa bimbang dalam kalangan pengguna LCC.

Memburukkan lagi keadaan, timbul dakwaan syarikat rekaan dalaman pesawat Itali, Aviointeriors telah menyediakan tempat duduk berdiri buat Ryanair yang akan digunakan pada tahun depan.

Namun, Aviointeriors menafikan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Sementara itu, menurut Euro News, Aviointeriors telah mengesahkan kerusi berdiri yang dipanggil Skyrider hanya produk mock-up (replika contoh) dan tidak tersenarai sebagai produk rasmi syarikat itu.

“Perkara itu tidak benar dan kami tiada perancangan untuk berbuat demikian.

“Kerusi berdiri atau Skyrider itu sebenarnya prototaip konseptual sejak 2012 dan bukan sebahagian daripada barisan rasmi produk kami.

“Namun, asal usul produk ini adalah hasil idea O’Leary yang telah mengemukakan beberapa cadangan penjimatan kos penerbangan yang tidak konvensional,” ujar jurucakap Aviointeriors.

PERMINTAAN terhadap penerbangan tambang murah semakin meningkat sejak kebelakangan ini. – Gambar hiasan

Difahamkan, sejak 2010, O’Leary telah membincangkan konsep kerusi berdiri untuk memaksimumkan ruang pesawat dan menawarkan tambang lebih rendah.

Beliau juga pernah mencadangkan idea tandas berbayar di atas pesawat pada 2009, selain ingin memperkenalkan ‘cukai lemak’ bagi penumpang obesiti.

Bagaimanapun, pengguna menilai cadangan idea tersebut sebagai tidak masuk akal.

Mereka berpendapat, pengalaman menaiki pesawat tidak boleh disamakan dengan menggunakan tren atau bas.

“Faktor keselamatan dan rasa panik akan mudah berlaku jika ramai penumpang berdiri. Sekiranya diberikan kerusi, mungkin penumpang lebih mudah dikawal dan tidak terjadinya kekalutan.

“Meskipun digelarkan penerbangan tambang rendah, namun harganya tetap mahal kerana perkhidmatan lain seperti bagasi, makanan dan insurans perlu dibayar berasingan.

“Saya fikir idea ini tidak munasabah dan boleh dianggap sebagai gimik semata-mata,” ujar salah seorang pengguna LCC, John Miller.

Menurut pakar kejuruteraan aeroangkasa dari University of Bristol, Dr. Jeremy Adams, kerusi berdiri mungkin menjimatkan ruang, tetapi memberikan cabaran terhadap aspek keselamatan.

“Dalam keadaan pendaratan cemas atau hentakan kuat, susun atur seperti ini belum lagi dibuktikan mampu melindungi penumpang dengan efektif.

“Penggunaan kerusi berdiri bukan perkara baharu yang diperkatakan. Ini kerana, sejak 2010 atau mungkin sebelum itu lagi banyak pihak mula memperkatakannya.

“Bagaimanapun, idea ini tidak mendapat kelulusan rasmi untuk digunakan dalam pesawat komersial, meskipun telah dipamerkan dalam pelbagai pemeran industri dan dikaji secara prototaip,” katanya.

Meskipun banyak syarikat LCC menunjukkan minat, namun Ryanair, VivaColombia atau Wizz Air masing-masing tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang penggunaan kerusi berdiri dalam masa terdekat.

Pakar industri turut menyifatkan persepsi pengguna melebihi daripada penjimatan syarikat terhadap sebarang kos pelaksanaan atau pengubahsuaian kabin.

Dalam fasa pasca pandemik Covid-19, keselesaan dan keselamatan semakin menjadi keutamaan penumpang.

Dalam pada itu, penggunaan kerusi berdiri dalam penerbangan kekal menjadi idea yang diperdebatkan ketika ini.

Selain ini, rata-rata pengguna tidak menyokong idea itu, selain aspek keselamatan yang diragui, sekali gus menyukarkan syarikat LCC melaksanakannya pada tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN