KUALA NERUS – Seorang pesara yang pernah tular sebelum ini selepas banglo ‘mahligai cinta’ yang dibina buat arwah isterinya hampir ranap dihentam ombak besar pada musim tengkujuh lalu kini boleh tidur lena apabila kediaman tersebut dilindungi benteng penahan ombak.
Pemiliknya, Mohd. Yazid Idris, 66, berkata, struktur tanah di sekeliling banglo itu sudah diperkukuh dengan tambakan bongkah-bongkah batu.
“Projek benteng penahan ombak tersebut sedang giat dibina di sepanjang pantai di perkampungan kami.
“Alhamdulillah hati saya semakin tenang untuk menghadapi musim tengkujuh akan datang dijangka pada Oktober ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semalam.
Kosmo! pada 11 Januari lalu melaporkan Mohd. Yazid dengan bantuan anak perempuan dan menantunya membanting tulang membina benteng daripada guni pasir bagi menyelamatkan banglo mereka yang sedang diancam hakisan pantai kronik.
Banglo yang dibina dengan wang persaraan RM600,000 pada 2018 itu amat bererti buat Mohd. Yazid kerana ia merupakan tanda cintanya terhadap arwah isteri, Siti Rashidah Mohd. Yunus yang meninggal dunia akibat penyakit kanser usus enam tahun lalu.
Mohd. Yazid berharap benteng penahan ombak itu dapat mengurangkan impak hakisan pantai pada tempoh Monsun Timur Laut.
Warga emas itu berkata, besar harapannya agar banglo yang dibina buat arwah isteri itu terus utuh buat selama-lamanya.
“Sebelum ini, walaupun musim tengkujuh sudah berakhir pada akhir Mac lalu, saya sentiasa berdebar setiap kali berlaku fenomena air pasang besar.
“Hati tidak tenang, tidur tidak nyenyak bila ombak besar kerana bimbang struktur banglo ini makin terhakis,” katanya.