LIVERPOOL – Pemain baharu Liverpool, Jeremie Frimpong mengakui tidak ada sebab untuk menolak tawaran yang dikemukakan oleh juara Liga Perdana Inggeris itu untuk mendapatkan khidmatnya.
Frimpong menjelaskan dia tidak perlu berfikir panjang untuk membuat keputusan bagi menyertai The Reds dan mahu segera melengkapkan perpindahannya dari Bayer Leverkusen.
“Segala urusan perpindahan berjalan dengan lancar. Bagi saya, apa yang akan dilakukan selepas mendapat tawaran daripada Liverpool adalah untuk memastikan segalanya dapat diselesaikan,” katanya.
Bagaimanapun, tiada maklumat terperinci didedahkan oleh Liverpool membabitkan yuran perpindahan, namun difahamkan ia menelan belanja €35 juta (RM168.6 juta) dan perjanjian diikat sehingga 2028.
Pengumuman ini dibuat ketika Trent Alexander-Arnold semakin hampir menjadi pemain Real Madrid dan ini adalah pemain pertama yang ditandatangani oleh pengurus The Reds, Arne Slot.
“Buat penyokong Liverpool, saya pasti akan berikan segala-galanya, mengerah segala kudrat yang saya ada dan memasang impian serta berharap kita akan dapat memenangi sesuatu dan meraikannya bersama.
“Saya begitu teruja untuk sertai pasukan, terima kasih kepada peminat kerana menerima kehadiran saya. Saya tidak mahu mengecewakan kamu semua dan nekad berikan aksi terbaik,” katanya. – AGENSI