Sempena International Flight Attendant Day yang disambut esok, Shazni (kanan) dan Puteri Arianna berkongsi pengalaman sebagai pramugari atau kru kabin serta harapan buat kerjaya tersebut.

‘Bukan pekerjaan biasa, ia sebenarnya amanah besar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMBINA kerjaya di awan biru sebagai seorang pramugari bukanlah sesuatu yang dicita-citakan oleh Shazni Shazwani Mohd. Azmi, 31.

Namun, takdir hidupnya telah tertulis untuk dia menjadi salah seorang anak kapal dan bertugas dengan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.

Kini dia cukup gembira dengan kerjaya tersebut dan bertugas di bahagian Amal by Malaysia Airlines yang menguruskan penerbangan jemaah yang mengerjakan haji dan umrah di Tanah Suci.

“Satu kepuasan bagi diri saya apabila dapat melihat senyuman yang terukir pada raut wajah penumpang-penumpang di dalam pesawat,” ungkapnya ketika ditemu bual K-Wanita baru-baru ini sempena sambutan International Flight Attendant Day atau Hari Kru Kabin Antarabangsa yang disambut esok. K-Wanita berpeluang menemu bual Shazni dan seorang lagi pramugari, Puteri Arianna Balqish Megat Arizal Izram, 22, untuk berkongsi pengalaman sebagai kru kabin sempena hari yang dirai setiap 31 Mei itu.

Kongsi Shazni, dia mula bekerja dengan Malaysia Airlines sejak tahun 2014 dan sebelum ini menjadi anak kapal untuk penerbangan komersial.

Bagaimanapun sejak tahun lalu, dia telah menyertai Amal yang fokus kepada melayani penumpang ke Tanah Suci sementelahan dia sudah bertudung selain mahu mencuba pengalaman baharu sebagai anak kapal.

Baginya, peluang untuk dia terus menjadi anak kapal bersama Malaysia Airlines masih ada meskipun dia telah memilih untuk mengenakan hijab.

Shazni berkata, untuk penerbangan bersama Amal dia menguruskan tetamu Allah yang ingin mengerjakan ibadah haji dan umrah.

“Mereka yang mengerjakan haji dan umrah ini bukanlah selalu pergi dan kebanyakan adalah mereka yang berumur atau baru kali pertama menaiki pesawat.

“Oleh itu saya akan pastikan saya melayani mereka dengan sebaiknya dalam apa jua keadaan saya kerana mereka adalah tetamu Allah,” jelasnya.

SHAZNI dan Puteri Arianna ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang baru-baru ini. – FAISOL MUSTAFA

Ketika musim haji jadualnya padat. Untuk tahun ini sahaja, dia telah empat kali terbang ke Tanah Suci bagi menyantuni jemaah haji.

Di luar musim haji pula, dia juga sibuk kerana perlu menguruskan jemaah umrah.

Kebiasaannya dalam sebulan dia terbang tiga hingga empat kali ke Madinah atau Jeddah untuk menguruskan jemaah umrah.

Melalui peluang tersebut juga, kata Shazni, dia mendapat rezeki untuk bersama-sama mengerjakan ibadah umrah untuk beberapa kali.

Mengimbas kisah perjalanannya menjadi pramugari, Shazni berkata, dia sendiri tidak menyangka akan menjadi kru kabin kerana minatnya lebih kepada bidang fotografi.

Menurutnya, sebelum ini dia mengambil diploma dalam bidang fotografi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu di Melaka.

“Fotografi ini adalah minat saya dan saya bercita-cita ingin menjadi seorang jurugambar National Geographic.

“Tetapi pada satu hari ibu saya membaca surat khabar dan melihat ada temu duga terbuka Malaysia Airlines.

“Dia meminta saya pergi mencuba temu duga untuk jadi pramugari,” jelasnya.

Shazni mengambil peluang itu dan pada mulanya dia sekadar ingin mencari pengalaman temu duga kerja.

Rezeki ternyata berpihak kepadanya. Setelah melalui beberapa sesi penilaian, Shazni terpilih untuk menjadi anak kapal bersama Malaysia Airlines.

Dia bahkan mendapat keputusan diterima menjadi anak kapal pada hari yang sama menghadiri sesi temu duga terbuka. Kemudian, Shazni menjalani latihan selama tiga bulan untuk menjadi anak kapal.

Pun begitu, nyata menjadi pramugari, tidak bermakna minatnya dalam bidang fotografi ternoktah.

Setiap kali terbang untuk bertugas, dia akan membawa bersama kameranya bagi membolehkannya membidik gambar jika ada masa lapang.

Menjadi pramugari juga membolehkannya pergi ke pelbagai negara dan dia akan cuba mencari masa untuk merakam foto-foto menarik apabila berpeluang.

“Menjadi pramugari membolehkan saya melihat dunia dan setiap momen menarik yang saya lihat perlu dirakam dan disimpan.

“Malah, sehingga sekarang juga saya ada menghantar foto-foto yang saya ambil untuk pertandingan dan juga pameran.

“Saya juga pernah menang pertandingan Kuala Lumpur Photo Festival pada 2019 dengan menghantar gambar yang saya ambil di Kathmandu, Nepal,” jelasnya.

Shazni bahkan memiliki impian untuk mengadakan pameran solo fotografi jika mendapat peluang. Dia ingin mempamerkan gambar-gambar yang diambilnya sepanjang bertugas sebagai seorang pramugari.

Jika Shazni tidak menjangka menjadi pramugari dalam hidupnya, berlainan pula dengan Puteri Arianna yang memang menjadikan anak kapal sebagai kerjaya impiannya.

Sejak kecil dia telah terdedah dengan dunia penerbangan memandangkan bapanya merupakan seorang juruterbang.

“Jadi, saya menyimpan cita-cita untuk menjadi anak kapal sejak kecil lagi.

“Pada tahun 2022, saya ada pergi ke hari terbuka Malaysia Airlines serta melihat pramugari-pramugari senior dan itu memberikan saya inspirasi untuk mengejar cita-cita di dalam bidang ini,” katanya yang memiliki diploma bidang hiasan dalaman.

Dia kemudian ‘mencuba nasib’ untuk menghadiri temu duga pada hari yang sama tanpa melakukan sebarang persediaan.

Rezeki juga memihak kepadanya dan Puteri Arianna diterima untuk menjadi seorang pramugari.

Menjadi antara momen manis juga dalam hidupnya apabila berpeluang sepesawat dengan bapanya.

“Memang kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan apabila berpeluang untuk satu pesawat bersama ayah ketika mula-mula bekerja.

“Saya mendapat jadual agak lewat pada ketika itu dan rupa-rupanya ayah saya yang akan mengendalikan pesawat tersebut,” ujarnya.

Antara pengalaman manis juga katanya, apabila dia dapat melayaninya ibu sendiri yang pada satu ketika menjadi penumpang pesawat ke Auckland, New Zealand.

Menyentuh mengenai cabaran, Puteri Arianna menjelaskan sebagai seorang pramugari adalah menjadi cabaran untuk mengurus gelagat penumpang yang pelbagai. Malah, ada ketikanya gelagat mereka menguji kesabarannya.

Namun dia sudah dilatih bagaimana untuk berhadapan dengan situasi tersebut.

“Dalam situasi sebegini saya akan senyum sahaja dan cuba memahami situasinya untuk membantu apa yang boleh,” terangnya yang memberitahu lazimnya dalam seminggu mereka akan terbang maksimum sebanyak enam kali.

Selain itu, kata Puteri, antara cabaran lain yang dihadapinya adalah melalui waktu tidur yang berbeza. Ketika orang lain masih nyenyak tidur, dia perlu bergerak dan bersedia lebih awal kerana ada ketikanya jadual penerbangannya pada awal pagi.

Ada ketikanya dia menjadi anak kapal untuk penerbangan antarabangsa dan di situ dia perlu menguruskan waktu tidurnya.

“Selain itu, pramugari sendiri tidak mengetahui lebih awal destinasi penerbangan yang dia akan pergi, jadi perlu sentiasa bersiap sedia,” kongsinya yang ingin berkhidmat sehingga menjawat jawatan ‘inflight supervisor’ dan berazam untuk berkhidmat selama yang boleh.

Sempena Hari Kru Kabin Antarabangsa ini, Puteri Arianna meluahkan rasa syukur dan bangga kerana dapat berkhidmat untuk Malaysia Airlines, sebuah syarikat penerbangan yang menjadi kebanggaan negara.

“Menjadi seorang anak kapal bukan sekadar menyajikan makanan atau minuman. Tugas kami jauh lebih mendalam daripada itu.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan kesejahteraan para penumpang sepanjang penerbangan, dari saat mereka melangkah masuk ke pesawat hingga selamat tiba ke destinasi. Ini bukan sekadar pekerjaan biasa, ia merupakan satu amanah besar yang memerlukan dedikasi, empati dan keberanian.

“Semoga kerjaya ini terus dihargai dan kami boleh terus terbang tinggi,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN