ALOR GAJAH – Seorang pekerja pembersihan Akademi Laut Malaysia (Alam) maut, manakala pelatih dari institusi sama parah selepas motosikal yang ditunggang masing-masing bertembung di Jalan Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mohamad Zahir Tahir, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, pelatih, Md. Rokonuzzaman Khan, 38, patah kedua-dua tangan serta kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, nahas dipercayai berlaku selepas motosikal jenis Benelli RFS150I STD ditunggang Md. Rokonuzzaman dari arah pekan Kuala Sungai Baru telah hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal terbabit kemudian merempuh motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang Mohamad Zahir menyebabkan pekerja pembersihan itu maut di lokasi.
“Md. Rokonuzzaman pula patah kedua-dua tangan serta kaki kiri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujarnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE