MANCHESTER – Manchester City membuat kejutan apabila bersedia melepaskan pemain tonggaknya, Rodri menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas kali ini.
Khidmat Rodri diburu oleh gergasi La Liga itu sejak beberapa jendela perpindahan lalu, namun baru kini City bersedia untuk membenarkan pemain itu kembali ke negara asalnya, tetapi perpindahan itu bersyarat.
City dilapor mahukan Real melepaskan khidmat Jude Bellingham ke Etihad sebagai syarat pertukaran dengan Rodri sekiranya mahu perpindahan tersebut direalisasikan kerana percaya pemain tengah mereka itu tidak akan dijual pada sebarang harga.
Rodri berjaya merangkul gelaran Euro 2024 bersama Sepanyol sebelum dinobatkan sebagai pemain terbaik Anugerah Ballon d’Or musim lalu dan kini dia semakin hampir untuk kembali beraksi selepas berehat lebih lapan bulan ekoran kecederaan lutut.
Pemain berusia 28 tahun itu dianggap antara pemain tengah bertahan terbaik di dunia apabila meraih empat gelaran Liga Perdana Inggeris, dua trofi Piala Liga Inggeris dan masing-masing satu untuk Liga Juara-Juara dan Piala FA.
Presiden Real, Florentino Perez pada April lalu mengakui bahawa Rodri adalah sasaran kelab itu apabila mereka percaya dia adalah pengganti terbaik buat Toni Kroos yang sudah bersara tahun lalu.
Bagaimanapun, syarat pertukaran dengan Bellingham mungkin menyebabkan Real tidak mudah untuk membuat keputusan ketika pemain itu masih berada pada usia muda dan sedang berkembang untuk menjadi salah seorang bintang masa depan Los Blancos. – AGENSI