fbpx
Seorang bomoh Siam menunjukkan jampi yang digunakan untuk menyelesaikan masalah pelanggannya.

Rentas tiga negara jumpa bomoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang wanita sanggup merentas tiga buah negara bagi mencari pawang untuk memperbaiki hubungan dengan suaminya yang semakin dingin sebelum usaha itu berhasil selepas dia diperkenalkan dengan bomoh Siam di Tumpat.

Wanita yang dikenali sebagai Sabrina, 50, mendakwa, rumah tangganya sering bergolak meskipun dia sudah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan lebih 20 tahun lalu.

Katanya, dia sanggup terbang ke Indonesia, Filipina dan Vietnam untuk berjumpa bomoh sebagai ikhtiar untuk memulihkan hubungan mereka.

“Beberapa tahun selepas kami bernikah, suami sudah mula bermain kayu tiga dengan pekerja­nya sendiri.

“Sejak itu, hubungan kami menjadi dingin hingga menyebabkan suami jarang pulang ke rumah meskipun sudah mempunyai dua anak,” ceritanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, dia hampir berputus asa untuk menyelamatkan rumah tangganya apabila semua cara yang digunakan termasuk memikat semula suaminya me­nemui jalan buntu.

Sabrina mengakui rumah tangganya kini aman selepas suami meninggalkan perempuan simpanannya.

Sabrina yang menetap di pinggir ibu negara mendakwa, dia juga telah pergi ke sebuah pusat perubatan Islam yang menyarankan dia untuk mandi air kolah tujuh masjid dan solat hajat selama 40 hari, namun keadaan masih tidak berubah.

“Selama 20 tahun saya sudah berjumpa dengan pelbagai jenis bomoh. Saya pernah ke Indonesia, Filipina dan Vietnam sebagai ikhtiar untuk memulihkan hubungan kami, namun gagal apabila masing-masing seakan sudah lagi serasi antara satu sama lain,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Sabrina, keadaan mula berubah pada awal dua tahun lalu apabila seorang rakan memperkenalkannya dengan seorang bomoh Siam di Tumpat.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, ketika berubat, bomoh Siam itu hanya meminta seke­ping gambar sebelum dibacakan jampi dan mantera dalam bahasa Thai dan memberi air tawar untuk dibawa pulang.

“Apabila sampai di rumah, saya terkejut apabila mendapati suami ada di rumah dan lebih mengejutkan dia telah memutuskan hubungan dengan perem­puan simpanannya.

“Saya tahu perbuatan berjumpa bomoh ini salah dalam Islam, namun saya menganggap ia sebagai satu ikhtiar. Tuhan memberikan satu masalah dan saya mencari jalan penyelesaian dengan cara ini.

“Setakat ini, hubungan saya dan suami sudah semakin baik. Saya tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada bomoh,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelanggan bomoh Siam dikenali sebagai Ros, 34, memberitahu, dia menggunakan khidmat itu untuk menyatukan semula ibu bapanya yang sudah 32 tahun bercerai.

Ros mendedahkan dia mendapatkan khidmat bomoh Siam untuk menyatukan semula ibu bapanya yang sudah berpisah.

Katanya, meskipun hubungan ibu dan bapanya yang berusia 60-an baik, namun mereka tidak mahu kembali disatukan meskipun sudah dipujuk.

“Mereka bercerai ketika saya berusia dua tahun. Sejak itu, saya dibesarkan oleh kedua-dua mereka di rumah yang berasingan. Hubungan kami sekeluarga amat baik, namun masing-masing ego.

“Saya nekad hendak menyatukan mereka semula sebelum saya berkahwin. Atas nasihat beberapa rakan, saya bertemu dengan seorang bomoh Siam wanita di Kuala Krai,” dedahnya.

Kata Ros, bomoh menyuruh­nya melakukan solat hajat selama tujuh hari tujuh malam dan pada hari kelapan perlu bersedekah makanan kepada tujuh buah rumah anak yatim.

“Selepas mengikut nasihat itu, saya mula melihat bibit-bibit percintaan antara ibu dan bapa dan mereka bernikah semula setahun sebelum saya berkahwin,” katanya.

“Sukar untuk saya mempercayai kejadian ini, namun saranan yang diberikan oleh bomoh itu tidak sukar dan ia sama seperti saranan kebanyakan ustaz sekiranya mahu memohon sesuatu kebaikan daripada Allah SWT,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN