fbpx

Djokovic kini sebaris dua legenda dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJOKOVIC meraih gelaran individu ke-100 dalam kariernya selepas menjuarai Terbuka Geneva awal pagi semalam. - AFP

GENEVA – Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila melengkapkan kejuaraan ke-100 dalam karier individunya selepas menjuarai Terbuka Geneva di Kelab Tenis Geneve, Switzerland awal pagi semalam.

Djokovic, 38, yang sebelum ini bergelut dengan prestasinya berjaya keluar daripada kekalahan lama dengan menumbangkan Hubert Hurkacz menerusi keputusan 5-7, 7-6 (7/2), 7-6 (7/2).

Bagaimanapun, Djokovic terpaksa ‘bermandi peluh’ sepanjang perlawanan berlangsung selama tiga jam untuk menewaskan lawan dari Poland itu yang tidak mudah menyerah kalah dan memberikan saingan sengit..

“Saya sangat bersyukur dapat mencapai gelaran ke-100 di sini. Saya benar-benar terpaksa berusaha keras untuk mencapainya.

“Hubert sebenarnya lebih hampir kepada kemenangan sepanjang perlawanan berbanding saya. Saya hanya cuba untuk terus bertahan.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana pukulan servisnya terputus, mungkin dia sendiri terganggu ketika sedang mendahului 4-3. Namun, beginilah keadaannya apabila kita bersaing di peringkat tertinggi,” ujar Djokovic.

Dalam perlawanan itu, Hurkacz terlebih dahulu memenangi set pertama sebelum Djokovic bangkit dalam dua set berikutnya yang ditentukan menerusi tie break.

Hurkacz yang dilihat menguasai sebahagian besar permainan, melakukan beberapa kesilapan penting di saat genting dan memberi ruang kepada Djokovic untuk mengubah rentak.

Dengan kemenangan itu, Djokovic menyertai dua legenda tenis dunia, Jimmy Connors (109 kejuaraan) dan Roger Federer (103) sebagai tiga pemain dalam era Terbuka yang berjaya mencapai angka 100 gelaran individu.

Juara Sukan Olimpik Paris 2024 itu juga menjadi pemain pertama era tersebut memenangi kejuaraan dalam 20 musim berturut-turut sejak 2006.

Djokovic tidak mempunyai tempoh rehat yang lama apabila bakal membuka kempen di Roland Garros hari ini dan dijadual menentang pemain Amerika Syarikat, Mackenzie McDonald. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI