LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca bertegas beliau tidak pernah dihimpit sebarang tekanan tambahan untuk melengkapkan dua lagi aksi paling penting pasukan.
The Blues perlu menang ke atas Nottingham Forest malam ini untuk mengesahkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik bagi layak ke Liga Juara-Juara musim depan sebelum berdepan Real Betis pada final Liga Konferens Eropah, Khamis ini.
“Saya sudah merasakan tekanan sejak menyertai kelab ini kerana kami adalah pasukan yang perlu memenangi banyak perlawanan. Ini mungkin menunjukkan betapa sukarnya saingan Liga Perdana Inggeris.
“Pasukan yang konsisten adalah Liverpool dan sebab itu mereka bergelar juara, selebihnya semua pasukan mengharungi detik turun naik sepanjang musim. Kami tidak perlu beri perhatian kepada keputusan pada perlawanan lain,” katanya.
Ketika ini, lima kelab, Manchester City, Newcastle United, Chelsea, Aston Villa dan Nottingham Forest masih bersaing hebat untuk melengkapkan tiga slot lagi bagi melengkapkan lima terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini.
Dalam masa sama, Maresca juga menjelaskan dia lebih mengutamakan kebajikan pemain apabila terpsa mengharungi jadual yang agak padat termasuk untuk hadapi saingan Piala Dunia Kelab, bulan depan. – AGENSI