KUALA TERENGGANU – Seramai 11 lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang sedang asyik menyabung ayam diberkas dalam serbuan di Kampung Atas Tol di sini semalam.
Tangkapan dalam Ops Dadu pada pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan suspek-suspek berusia dalam lingkungan 32 hingga 66 tahun.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, sewaktu serbuan dilakukan kesemua lelaki itu disyaki sedang terlibat dalam aktiviti pertaruhan haiwan di belakang sebuah rumah di perkampungan berkenaan.
“Empat ekor ayam jantan yang disyaki digunakan dalam aktiviti pertaruhan tersebut berjaya dirampas.
“Serbuan juga menyita sebuah bon laga ayam serta sebuah beg mengandungi jarum, benang dan pita pelekat perubatan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, wang tunai berjumlah keseluruhan RM5,823 turut dirampas bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015. – KOSMO! ONLINE