KUALA LUMPUR – Pemain utama sektor runcit kedai harga tetap di Malaysia, Eco-Shop Marketing Berhad (Eco-Shop) optimis mampu terus menyampaikan prestasi kukuh tahun ini, meskipun selepas melakukan pelarasan harga baru-baru ini.
Eco-Shop menaikkan harga barangan daripada RM2.40 kepada RM2.60 pada April lalu.
Ketua Pegawai Kewangannya, Chong Yew Kai berkata, pihaknya telah menyaksikan trend sama dari segi tingkah laku pengguna sebelum ini, sewaktu kali terakhir menaikkan harga jualan pada tahun 2022.
“Baru sebulan harga dinaikkan dan kami masih lagi membuat pemantauan. Buat masa ini semuanya berjalan selari dengan jangkaan dan kami tidak melihat reaksi berbeza daripada pasaran.
“Sudah tentu kini masih lagi dalam tempoh peralihan. Namun saya rasa menuju ke hadapan, kami masih dapat melihat kepada prestasi kukuh bagi syarikat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, sempena penyenaraian Eco-Shop di di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Eco-Shop memulakan dagangan di Bursa Malaysia pada premium 12 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO).
Saham Eco-Shop dibuka pada RM1.25, iaitu 10.6 peratus lebih tinggi berbanding RM1.13 harga IPO, melibatkan volum pembukaan sebanyak 25 juta saham.
Debut Eco-Shop di Pasaran Utama hadir dalam suasana permintaan yang semakin meningkat untuk peruncitan berasaskan nilai, didorong oleh peralihan dalam tabiat pengguna dan tumpuan lebih tinggi pada kemampuan serta kemudahan.
Dengan strategi perniagaan yang berbeza disokong oleh rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Eco-Shop telah berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 156 peratus dalam tempoh tiga tahun kewangan lalu dari 2022 hingga 2024.
Syarikat baru-baru ini melaporkan pertumbuhan PATAMI sebanyak 36 peratus dalam tempoh sembilan bulan berakhir 28 Februari 2025.
Yew Kai menambah, pihaknya menyasarkan pertumbuhan hasil sehingga 20 peratus tahun ini. – KOSMO! ONLINE